Utusan Borneo (Sarawak)

Pegawai Jabatan Perikanan mengaku tidak bersalah lulus tender kepada syarikat adik ipar

- — Bernama

KOTA BHARU: Seorang pegawai Jabatan Perikanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan salah guna kuasa dengan meluluskan tender bernilai RM71,694 kepada sebuah syarikat milik adik iparnya, pada Mei 2019.

Mohd Rafi Hassan, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunaka­n jawatan sebagai Ketua Cawangan Akuakultur di Pejabat Perikanan Kelantan bagi mendapatka­n suapan apabila meluluskan tender membekal dan menghantar tangki akuakultur.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perikanan Kelantan, dekat sini pada 12 Mei 2019 dan tender tersebut diluluskan kepada pemilik YY Indah Enterprise, Yusneffa Yahya yang juga adik ipar tertuduh dengan nilai pembekalan sejumlah RM71,694.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntu­kkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut manamana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali manakala Mohd Rafi diwakili peguam, Cheah Poh Loon.

Nor Hamizah memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan kepada tertuduh supaya menyerahka­n pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM.

Cheah pula memohon jaminan minimum dikenakan memandangk­an anak guamnya masih bertugas sebagai pegawai Jabatan Perikanan di Putrajaya dan tiada sebab untuk tertuduh tidak memberi kerjasama kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahka­n tertuduh menyerahka­n pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat, setiap awal bulan.

Mahkamah menetapkan 18 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia