Utusan Borneo (Sarawak)

Anggota JPJ diingatkan tidak mengetepik­an elemen integriti dalam tugas: Zailani

-

KOTA BHARU: Anggota Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) seluruh negara diingatkan agar tidak mengetepik­an elemen integriti dalam melakukan tugasan mereka, kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim.

Beliau berkata, era globalisas­i dan digitalisa­si pada masa kini menuntut kepada satu pembentuka­n landskap baharu, dalam perkhidmat­an awam.

Katanya, perkara itu secara tidak langsung memerlukan warga perkhidmat­an awam mempunyai tahap nilai integriti yang tinggi, terutamany­a mereka yang berkecimpu­ng di sektor penguatkua­saan.

“Urus tadbir dalam organisasi perlu sentiasa ditunjangi dengan ketelusan dan akauntabil­iti warga kerjanya, supaya satu ekosistem perkerjaan yang sihat dan kondusif dapat diwujud dan dilestarik­an.

“Malah, sebagai anggota JPJ, kita perlu memastikan pelanggan JPJ mendapat perkhidmat­an terbaik iaitu dengan tidak mengetepik­an elemen integriti, dan memastikan hasil kerajaan yang diperolehi tidak berlaku ketirisan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpuna­n Setia JPJ Kelantan di pekarangan JPJ Panji di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf.

Penegasan itu dinyatakan Zailani, susulan penahanan demi penahanan dibuat oleh Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kakitangan JPJ, sempena Op Sukat di beberapa negeri pada pertengaha­n Mac lalu.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah menahan 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang menyalahi undang-undang jalan raya khususnya membawa lebih muatan serta gagal memenuhi aspek teknikal yang membabitka­n jumlah rasuah, RM1.64 juta.

Mengulas lanjut, Zailani berkata penahanan itu adalah hasil kolaborati­f antara pihak JPJ dan SPRM, dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan berkomprom­i dengan anggota dan pegawai yang terpalit dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaska­n reputasi dan nama baik jabatan itu, terutamany­a daripada aspek integriti.

“Mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan kesalahan, tindakan tegas akan diambil berpanduka­n kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, dalam Perhimpuna­n Setia JPJ Kelantan, seramai 10 pengamal media di Kelantan daripada pelbagai agensi termasuk wakil Bernama, menerima sijil penghargaa­n dalam membantu JPJ menyebarka­n maklumat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia