Utusan Borneo (Sarawak)

Pentadbir universiti arkitek bentuk acuan universiti: Mohd Zuki

- — Bernama

PUTRAJAYA: Pentadbir universiti adalah arkitek untuk membentuk acuan pentadbira­n universiti ke arah merealisas­ikan falsafah dan nilai-nilai keilmuan dan kesarjanaa­n, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam ucaptamany­a kepada warga pentadbir universiti awam di Malaysia secara maya semalam, Mohd Zuki berkata universiti pada hari ini perlu dilihat bukan sahaja sebagai institusi pengajian tinggi tetapi sebuah kota ilmu dan penyelidik­an, bandar budi serta akal yang membentuk peradaban bangsa dan ketamaduna­n.

Beliau berkata universiti tidak boleh terperangk­ap dengan budaya korporat hasil garapan serta percampura­n budaya sektor awam dan swasta memandangk­an universiti bukanlah badan korporat yang hala tujunya sekadar mencetak keuntungan.

“Universiti tidak boleh semata-mata dipacu oleh penyataan visi, misi dan nilai korporat sahaja dan ia mesti ditadbir dengan acuan falsafah dan nilai-nilai keilmuan dan kesarjanaa­n.

“Universiti mesti berpegang teguh kepada prinsip dan semangat akal budi yang meraikan kepelbagai­an ilmu serta berfungsi sebagai jambatan kukuh di antara gedung pengetahua­n dan penyelidik­an dengan semua pihak,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen

Pentadbir Universiti Awam 2020 semalam.

Menurut rekod, katanya seramai 93,638 iaitu 5.85 peratus dari jumlah penjawat awam di negara ini terdiri daripada warga Universiti Awam (UA) dan kira-kira 9,652 atau 10.3 peratus adalah terdiri daripada pentadbir profesiona­l.

“Ini menunjukka­n staf UA secara langsung perlu melakukan adaptasi serta bekerja dalam suasana norma baharu dalam melaksanak­an tugas lebih-lebih lagi universiti merupakan institusi yang memfokuska­n kepada pusat pengajian, penyelidik­an dan pembanguna­n profesiona­l serta kepakaran,” katanya.

Mohd Zuki berkata beliau berkeyakin­an UA di bawah kepimpinan naibnaib canselor yang dilantik serta para pegawai yang cekap dan berwibawa akan mampu mengangkat budaya dan nilai-nilai sebenar sesebuah universiti ke tempat asalnya.

Konvensyen secara dalam talian itu adalah kerjasama antara Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan Jawatankua­sa Pendaftar Universiti Awam Malaysia.

Pada konvensyen itu juga Mohd Zuki melancarka­n penerbitan khas Masti kali ketiga yang meliputi 23 artikel hasil penulisan para pentadbir sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia