Utusan Borneo (Sarawak)

RENTUNG DALAM KEBAKARAN

• Seorang lelaki maut setelah terperangk­ap dalam kebakaran di Sibu awal pagi semalam.

- Oleh Andy Sabang

SIBU: Seorang lelaki maut setelah terperangk­ap dalam kebakaran membabitka­n dua blok rumah kayu terdiri daripada 14 rumah di Jalan Tiong Hua, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Johnathan Ringgit semasa dihubungi berkata mayat mangsa ditemui sekitar jam 7 pagi.

Menurutnya, setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui dan mayatnya dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu Janggan Muling berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.55 pagi semalam.

Janggan berkata, seramai 15 anggota, dua jentera pemadam, sebuah ambulans EMRS digerakkan ke lokasi.

"Kita turut mendapat bantuan sebuah jentera pemadam dan sebuah ambulans kecemasan dari Balai Bomba Sungai Merah untuk membantu memadamkan kebakaran itu.

"Turut berada di lokasi 14 anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lima pekerja syarikat SESCO," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, setiba di lokasi api sudah marak membakar rumah jenis tidak kekal satu tingkat terbabit yang dibina pada zaman penjajah.

Difahamkan insiden kebakaran itu dipercayai bermula dari sebuah rumah terletak di Lorong 11 di sini.

Api kebakaran itu kemudian merebak ke bahagian rumah kayu lain selepas ditiup angin.

Penduduk turut mendakwa api merebak dengan pantas memandangk­an hampir 100 peratus struktur bangunan itu kayu.

Seorang mangsa kebakaran dikenali Ling Chong Seng, 56, mendakwa dia menyedari kejadian itu setelah terdengar bunyi bising di luar rumah.

Terdahulu, Ling bersama ahli keluargany­a yang lain sedang tidur.

Tersentak dengan kejadian itu, Ling kemudian segera berlari ke luar rumah mencari anaknya yang berumur lima tahun.

Mujur anak mangsa berjaya diselamatk­an oleh jirannya sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Selain itu, pasukan perubatan bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan dan turut membantu merawat Ling yang melecur di bahagian bahu.

Ling tinggal di rumah kayu ketiga (dalam satu blok) bersama isteri dan tiga anak mereka.

Dua daripada anaknya berstatus orang kurang upaya (OKU) berusia lima tahun dan seorang dewasa.

Anak bongsu lelaki mangsa berumur dua tahun.

Terdapat seorang lagi penyewa tinggal bersama keluarga Ling tetapi menyewa di tingkat bawah.

Anggota bomba kini masih menyiasat punca kejadian serta anggaran jumlah kerugian akibat insiden kebakaran itu.

 ??  ?? MUSNAH: Dua deretan rumah kayu
di Jalan Tiong Hua, Sibu musnah dalam kejadian kebakaran semalam.
MUSNAH: Dua deretan rumah kayu di Jalan Tiong Hua, Sibu musnah dalam kejadian kebakaran semalam.
 ??  ?? SELAMAT: Pasukan perubatan membantu merawat kecederaan Ling.
SELAMAT: Pasukan perubatan membantu merawat kecederaan Ling.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia