Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: Kes baharu 1,133 dengan lima kematian semalam

-

KUALA LUMPUR: Kes baharu harian COVID-19 di negara ini bagi tempoh 24 jam lepas meningkat semula kepada empat digit apabila 1,133 kes dilaporkan hari ini, selain lima lagi kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumka­n jumlah kes sembuh pula ialah 1,148, menjadikan kumulatif kes pulih kini 344,018, manakala kes aktif setakat ini 14,199.

Kelmarin buat pertama kali sejak Disember lepas, Malaysia mencatat tiga digit kes baharu iaitu 941 kes.

“Daripada jumlah kes baharu (hari ini), 1,125 adalah penularan tempatan dan lapan kes import, sementara 161 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 76 menggunaka­n alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembang­an penularan COVID-19 di sini.

Beliau berkata tiga negeri yang mencatat kes paling tinggi adalah Selangor dengan 401 kes diikuti Pulau Pinang (194) dan Sarawak (153), manakala negeri lain merekodkan kes baharu di bawah 100.

Mengenai kematian yang dilapor dalam tempoh 24 jam lepas, kesemua individu adalah lelaki warga tempatan dalam lingkungan umur 36 hingga 88 tahun yang masing-masing menghidap penyakit kronik.

Dr Noor Hisham turut memaklumka­n sembilan kluster baharu dikesan membabitka­n lima kluster di tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Kota Kemajuan di Johor.

Kluster tempat kerja adalah Kluster Jalan Pinang Raja, Kluster Jalan SC Satu, Kluster Jalan Western di Selangor dan Kluster Jalan Sulaiman (Kuala Lumpur) serta Kluster Batu Enam Setengah (Negeri Sembilan), manakala kluster komuniti adalah Kluster Fasa Dua Semarak dan Kluster Ranggu (Sabah) dan Kluster Jalan Merak di Johor. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia