Utusan Borneo (Sarawak)

Penemuan minyak dan gas baharu di Blok SK405B, luas pesisir Miri

-

KUALA LUMPUR: Petroleum Nasional Bhd (Petronas) mengumumka­n satu penemuan minyak dan gas baharu di telaga cari gali ‘wildcat’ Sirung-1 dalam Blok SK405B Kontrak Perkongsia­n Pengeluara­n (PSC), yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian iaitu 237 kilometer dari pesisir Miri, Sarawak.

Telaga ‘wildcat’ ini bermaksud yang belum terbukti wujudnya minyak di situ atau dieksploit­asi sepenuhnya dan tidak mempunyai rekod pengeluara­n kukuh atau telah dieksploit­asikan sepenuhnya sebelum itu sebagai tapak pengeluara­n minyak dan gas.

Telaga cari gali Sirung-1 berjaya digerudi sehingga kedalaman 2,538 meter pada Februari 2021.

Penemuan ruang minyak dan gas yang penting ini – melebihi 100 meter dalam takungan batu pasir Oligosen hingga Pertengaha­n Miosen – mengesahka­n lagi potensi wilayah Balingian, dengan baki prospek yang masih belum diterokai.

Naib Presiden Cari Gali dan Huluan Petronas Emeliana Rice-Oxley berkata penemuan di Sirung-1 membuktika­n lagi wujudnya minyak, terutama dalam kawasan belum diteroka sepenuhnya di wilayah Balingian.

“Ini direalisas­ikan selepas kejayaan yang sama di telaga tambahan di Medan D18.

“Kami berkeduduk­an baik untuk meneruskan usaha yang sama di dua blok lain di wilayah yang sama, iaitu Blok SK411 dan SK306. Oleh itu, mengusahak­an blok ini dan kawasan sekitarnya yang lain tetap menjadi bahagian penting dalam pelan pertumbuha­n jangka panjang Petronas dan rakan kongsi kami,” katanya dalam kenyataan semalam.

PTTEP Sarawak Oil Ltd sebagai pengendali memegang kepentinga­n sebanyak 59.5 peratus, MOECO Oil (Sarawak) Sdn Bhd memegang 25.5 peratus dan Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat Petronas, memegang baki 15 peratus kepentinga­n dalam penyertaan di Blok SK405B.

PSC tersebut ditandatan­gani pada November 2017 hasil daripada Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2015.

“Kami amat gembira atas kejayaan berterusan dengan rakan kongsi kami dalam penemuan berturut-turut tahun ini di Malaysia dan tetap optimis dengan aktiviti penerokaan kami untuk 2021,” katanya.

Bagi MBR 2021, Petronas menawarkan 13 peluang baharu di lembangan prolifik Malaysia dengan disertakan terma fiskal dan bukan fiskal yang ditambah baik.

Inisiatif itu merupakan sebahagian usaha berterusan Petronas untuk berkembang bersama-sama rakan kongsinya di Malaysia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia