Utusan Borneo (Sarawak)

Kluster Kg Binyu diisytihar di Daerah Kuching libatkan majlis perkahwina­n

-

KUCHING: Kluster Kampung Binyu diisytihar di Daerah Kuching semalam yang dikesan melibatkan majlis perkahwina­n di Kampung Binyu, Jalan Tanjung Bako di sini.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata kluster ini dikesan apabila tiga individu bergejala yang menjalani saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan di Kuching dan Bintulu didapati positif pada 30 Mac 2021.

Hasil siasatan katanya, mendapati kes-kes ini mempunyai sejarah menghadiri majlis perkahwina­n di kampung tersebut.

“Hasil pengesanan kes secara aktif dan saringan ke atas semua kontak rapat, ahli keluarga dan kontak kasual kepada kes-kes ini, tambahan 65 kes positif COVID-19 telah dikesan.

“Sejumlah 231 individu telah disaring di mana 68 kes telah disahkan positif termasuk kes indeks, 163 kes negatif saringan pertama dan tiada kes menunggu keputusan makmal,” katanya.

Kesemua 68 kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk untuk rawatan lanjut dan pengasinga­n di Hospital Umum Sarawak atau di PKRC Kuching dan Hospital Bintulu.

Kontak-kontak rapat keskes positif ini pula telah dimasukkan ke pusat kuarantin bagi tujuan pengasinga­n dan saringan COVID-19.

Keseluruha­nnya sebanyak 37 kluster jangkitan COVID-19 masih aktif dengan 14 kluster melaporkan penambahan kes manakala 23 kluster tidak ada penambahan kes.

Dalam pada itu, Daerah Belaga telah bertukar ke status Kuning daripada Hijau setelah merekodkan satu kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Kuning telah meningkat kepada 19 daerah manakala Daerah Bukit Mabong bertukar status Jingga kepada Kuning setelah merekodkan hanya 20 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari ini.

Sembilan belas daerah berstatus Kuning ialah Bukit Mabong, Belaga, Betong, Lubok Antu, Tatau, Tanjung Manis, Song, Matu, Pakan, Marudi, Subis, Tebedu, Bau, Mukah, Selangau, Limbang, Telang Usan, Saratok dan Sebauh.

Tiga daerah iaitu Sri Aman, Sarikei dan Kanowit berstatus Jingga, manakala 10 daerah iaitu Beluru, Samarahan, Serian, Julau, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Subis kekal berstatus Merah.

Lapan lagi daerah iaitu Dalat, Lundu, Pusa, Asajaya, Lawas, Simunjan, Daro dan Kabong kekal berstatus Hijau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia