Utusan Borneo (Sarawak)

Rakyat Korea Utara yang masih berada di Malaysia adalah peserta MM2H: KPN

-

KUALA LUMPUR: Semua rakyat Korea Utara yang masih berada di Malaysia adalah peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang telah dikenal pasti pergerakan mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya menyerahka­n kepada Jabatan Imigresen dan Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) untuk menentukan masa depan mereka sama ada perlu pulang ke Korea Utara atau sebaliknya, susulan keputusan Pyongyang menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

“Saya beri jaminan keadaan negara masih terkawal, “katanya kepada Bernama kelmarin.

Khamis lepas, laporan Daily NK mendakwa Korea Utara tidak memanggil pulang ratusan pekerja termasuk ejen rahsia Jabatan Perindustr­ian Pembekalan Senjata (MID) negara itu yang menjalanka­n penyeludup­an barang mewah serta senjata di negara ini.

Laporan itu turut mendakwa, MID terbabit dengan kegiatan penyeludup­an senjata dan mereka menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebagai laluan bagi menyeludup senjata Korea Utara ke Iran, Syria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk ‘mengimport’ senjata dari negara lain ke Korea Utara.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kerajaan belum menerima laporan berhubung dakwaan mengatakan Korea Utara masih membenarka­n ejen perisik mereka menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membeli senjata dan barangan mewah.

Pada 21 Mac lepas, kesemua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara dan tanggungan mereka di Malaysia, berlepas pulang ke negara mereka susulan keputusan Pyongyang menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur pada 19 Mac lepas.

Pyongyang mengumumka­n ia menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, apabila mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradi­si ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973, serta mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdaganga­n hinggalah pada 2017, apabila Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jongun, dibunuh di Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia