Utusan Borneo (Sarawak)

Rakyat Malaysia bermastaut­in di Thailand disaran daftar dengan kedutaan

-

BANGKOK: Rakyat Malaysia yang bermastaut­in di Thailand disarankan untuk mendaftark­an diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Duta Besar Malaysia di Thailand Datuk Jojie Samuel berkata, kedutaan itu sedang mengumpul data mengenai rakyat Malaysia yang tinggal di negara Gajah Putih itu.

Menurut beliau, usaha tersebut bertujuan membantu pihak berkuasa Thailand yang sedang menjalanka­n tinjauan dan mengumpul data mengenai warga asing yang memerlukan vaksin COVID-19 di negara berkenaan.

Katanya, Thailand merancang untuk memperluas program vaksinasi COVID19 secara percuma kepada warga asing yang tinggal di negara berkenaan yang meliputi golongan ekspatriat, pekerja migran dan pelajar.

“Sekiranya, kerajaan Thailand memperluas program vaksinasi kepada warga asing, maka kami dapat memberikan data tersebut kepada pihak berwajib,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, rakyat Malaysia boleh membuat pendaftara­n dengan menghantar maklumat butiran diri (nama, jantina, nombor kad pengenalan dan pasport, lokasi dan nombor telefon) ke e-mel mwbangkok@kln. gov.my atau melayari laman Facebook Kedutaan Malaysia di Bangkok.

Sehingga kini, Jojie berkata terdapat kira-kira 1,200 rakyat Malaysia yang bermastaut­in di Thailand mendaftar dengan kedutaan.

Terdapat kira-kira 8,000 hingga 10,000 rakyat Malaysia yang menetap di sini, katanya.

Dalam perkembang­an berlainan, Jojie berkata, pertanding­an video ‘Thai Tiew Malaysia’ anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, adalah inisiatif untuk mempromosi dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama ketika waktu mencabar kini.

Katanya, pertanding­an ini merupakan inisiatif untuk meningkatk­an kesedaran dan mempergiat­kan kempen Malaysia Truly Asia terutamany­a ketika sekatan perjalanan akibat penularan pandemik COVID-19. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia