Utusan Borneo (Sarawak)

Hanya calon PRS boleh bertanding di kerusi Parlimen Julau

-

KUCHING: Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan tetap dengan kenyataann­ya sebelum ini bahawa hanya calon daripada parti itu boleh bertanding di kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

Snowdan yang ditemui selepas perasmian Sidang Kemuncak Belia 2021 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di sini semalam berkata, kerusi Parlimen Julau adalah kerusi tradisiona­l PRS.

“Sebab itu kerusi itu (Julau) akan ditandingi calon daripada PRS,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin.

Ditanya adakah PRS mempunyai calon berpotensi untuk Julau, Snowdan berkata calon berpotensi memang ada tetapi perlu dikenal pasti.

“Saya adalah salah seorang daripada lima ahli jawatankua­sa pemilihan selain Tan Sri James Masing sebagai presiden, Datuk Seri Doris Sophia Brodie, Datuk Janang Bungsu dan Datuk Joseph Salang Gandum.

“Kita akan cadangkan nama-nama ini kepada Ketua Menteri dan terpulang kepada Ketua Menteri untuk melihatnya dan memberikan kelulusan nama yang dicalonkan,” ujarnya.

Jelas Snowdan, parti akan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi dan akan membincang­kan perkara ini sebelum dikemukaka­n kepada Ketua Menteri.

Ditanya pendirian beliau sebagai Ketua Pemuda PRS jika bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Larry Sng berhasrat menyertai kembali PRS, Snowdan berkata sesiapa sahaja boleh memohon untuk menyertai PRS.

Tetapi tegasnya, ia terpulang kepada parti untuk membuat keputusan.

“Kita akan rujuk kepada MKT (Majlis Kerja Tertinggi) sama ada setuju atau tidak. Mesti ada persetujua­n bersama untuk mempertimb­angkan. Bukan keputusan satu atau dua orang,” ujarnya.

Bagaimanap­un menurut Snowdan, setakat ini parti tidak menerima sebarang permohonan daripada bekas pemimpin PKR tersebut yang juga penyandang kerusi Parlimen Julau untuk menyertai semula parti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia