Utusan Borneo (Sarawak)

Satu lagi kluster baharu di Sarawak, Mukah bertukar status Merah: Uggah

-

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytih­arkan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Sungai Gemuan, Meradong.

Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kluster baharu itu merekodkan 26 kes positif baharu menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 39 kes.

Jelasnya, jumlah individu yang masih menunggu keputusan ujian saringan adalah seramai 122 orang manakala jumlah individu yang disaring negatif adalah seramai 99 orang yang mana seramai 260 orang telah disaring di bawah kluster ini.

“Hari ini (semalam) sebanyak 45 kluster yang masih aktif dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 kluster yang melaporkan penambahan kes,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di DUN lama di sini semalam.

Kata Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, 30 kluster lagi tidak ada penambahan kes.

Selain itu, beliau memberitah­u, Daerah Mukah telah bertukar dari status Kuning kepada status Merah setelah merekodkan 53 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Merah telah meningkat kepada 13 daerah,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Daerah Subis telah bertukar dari status Kuning kepada status Jingga setelah merekodkan 28 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

Tambah beliau, ini menjadikan jumlah daerah berstatus Jingga telah meningkat kepada lima daerah.

“Manakala 17 daerah berstatus Kuning dan lima daerah kekal berstatus Hijau,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitah­u, polis Sarawak mengeluark­an 41 kompaun iaitu di daerah Sibu (40) dan Lawas (1) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Ini menjadikan jumlah keseluruha­n kompaun telah dikeluarka­n sejak PKP dilaksanak­an pada 18 Mac 2020 hingga kini sejumlah 5,811 kompaun,” tegasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia