Penduduk Rumah Manggi beri kerjasama baik ujian COVID-19
LIMBANG: Penduduk di Rumah Manggi Menuang Baru memberi kerjasama baik ketika diminta melakukan ujian saringan COVID-19 sekali gus menafikan khabar angin mendakwa ada sesetengah penduduk lari dan mengelak disaring.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata berdasarkan maklumat dan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semua penduduk memberi kerjasama baik dan bersedia menjalani ujian saringan COVID-19.
“Setakat ini, tiada maklumat mengatakan penduduk lari dan enggan melakukan saringan COVID-19.
“Malah,pendudukmemberi kerjasama baik ketika petugaspetugas KKM menjalankan ujian saringan COVID-19,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Paulus berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) bermesyuarat bersama KKM melalui taklimat disampaikan Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Jusoh kelmarin.
Menurutnya, hasil taklimat sama tiada laporan mengatakan penduduk lari dan enggan melakukan ujian COVID-19.
“Malah, rumah panjang itu hanya mempunyai dua laluan akses yang telah dikenakan sekatan pergerakan selama 14 hari bermula kelmarin hingga 21 April nanti,” katanya.
Paulus berkata, bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga diagihkan kepada penduduk semalam untuk menampung keperluan selama dua minggu.
Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan penguatkuasaan dilaksanakan ketika mengadakan pemantauan di rumah berkenaan semalam.
“Tinjauan adalah untuk memantau situasi dan penguatkuasaan sekatan pergerakan dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Diharapkan semua pihak memberi kerjasama dan saling bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” jelasnya.
Katanya, ia penting bagi memastikan jaminan keselamatan diri dan orang awam dalam memutuskan rantaian COVID-19.
Mengiringi beliau ialah Timbalan Residen Bahagiàn Limbang Sebi Àbang, Penolong Penguasa Bomba Azman Ibrahim dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Kapten (PA) Sulaiman Salama.