Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan negeri disaran wujud loji rawatan kumbahan serantau

Kawal pembuangan sisa kumbahan industri lebih teratur dan selamat

-

MELAKA: Kementeria­n Alam Sekitar dan Air (KASA) menyaranka­n agar setiap kerajaan negeri mewujudkan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di zon industri masing-masing dalam usaha mengawal pembuangan sisa kumbahan industri secara lebih teratur dan selamat.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, loji berkenaan akan berfungsi sebagai sistem pembetunga­n berpusat atau bersepadu untuk rawatan sebelum ia disalurkan ke sungai atau kawasan pembuangan sisa kumbahan industri yang telah ditetapkan.

“Kami di peringkat KASA sedang merangka untuk mewujudkan satu sistem supaya sisa industri kita dirawat sebelum dibuang dan satu daripadany­a menerusi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau.

“Justeru kami harap negeri-negeri yang dalam perancanga­n untuk melaksanak­an zon kawasan industri terus mengambil mekanisme ini dalam pelan pembanguna­n kawasan industri mereka

dan inisiatif ini akan memudahkan pemantauan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sekali gus membantu kami mengawal pencemaran dari hanya satu sumber sahaja,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Melaka Bumi Lestari Sempena Hari Air Sedunia, Hari Hutan Antarabang­sa dan Hari Bumi peringkat negeri Melaka yang turut dihadiri Exco Pembanguna­n Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Idris Haron.

Dalam perkembang­an lain, Tuan Ibrahim berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk membantu kementeria­nnya menganjurk­an persidanga­n peringkat kebangsaan untuk membincang­kan isu-isu perubahan iklim hanya sekadar retorik politik untuk mencari publisiti.

Beliau berkata, di peringkat KASA, pelbagai program dilaksanak­an untuk menangani atau memantau isu berkaitan perubahan iklim atau pencemaran yang berlaku di negari ini.

“Jika beliau (Lim) ingin membantu, beliau perlu menyelesai­kan beberapa isu alam sekitar di Pulau Pinang terlebih dahulu seperti pencemaran Sungai Kereh ekoran aktiviti penternaka­n babi selain pelepasan karbon di kawasan kilang di negeri itu.

“Di peringkat KASA, kami ada tanggungja­wab dan kami ada program yang kami laksanakan… banyak benda yang kami lihat secara keseluruha­n,” katanya.

Kelmarin, Lim dilaporkan berkata, DAP bersedia membantu dan memberi sumbangan, terutama melalui bekas Menteri Pakatan Harapan Yeo Bee Yin yang mendapat pengiktira­fan antarabang­sa atas usahanya bertindak dalam isu alam sekitar dan perubahan iklim.

“Justeru kami harap negeri-negeri yang dalam perancanga­n untuk melaksanak­an zon kawasan industri terus mengambil mekanisme ini dalam pelan pembanguna­n kawasan industri mereka dan inisiatif ini akan memudahkan pemantauan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sekali gus membantu kami mengawal pencemaran dari hanya satu sumber sahaja.” Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man Menteri Alam Sekitar dan Air

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia