Utusan Borneo (Sarawak)

Kes tinggi di Sibu mungkin punca pasar malam di Butterfly Garden hambar: Ting

-

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandara­n Sibu (MPS) Clarence Ting tidak menolak kemungkina­n 115 kes baharu COVID-19 yang direkodkan di Sibu kelmarin menyebabka­n pembukaan kembali pasar malam di Butterfly Garden kurang dikunjungi orang ramai.

Pasar malam tersebut kembali beroperasi pada malam kelmarin selepas ditutup sejak Januari lalu susulan peningkata­n jumlah kes COVID-19 di Sibu.

“Saya lihat, jumlah pengunjung tidak ramai malam ini (malam kelmarin). Saya rasa ini disebabkan oleh pengumuman hari ini (Jumaat) bahawa terdapat 115 kes COVID-19 (di Sibu).

“Bagi peniaga, hanya 51 daripada 82 peniaga yang beroperasi malam ini.

“Terdapat sejumlah 164 peniaga di pasar malam, di mana setiap malam, 82 akan berniaga,” katanya kepada wartawan ketika ditemui setelah mengunjung­i pasar malam tersebut, malam kelmarin.

Ting menambah, “Daripada 115 kes (direkodkan di sini), saya melihat senarai hari ini (di lokasi yang terdedah kepada kes positif COVID-19), ia merata-rata tempat di seluruh bandar ini.

“Jadi, saya hanya ingin memberi nasihat kepada orang ramai jika mereka datang ke pasar malam, sila praktikkan prosedur operasi standard (SOP). Jangan pergi ke kawasan yang sesak.

“Dan jika anda melihat banyak orang membeli barang, jangan terlalu dekat, beratur dan tunggu giliran anda. Itulah pesanan saya kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 kini berada dalam komuniti dan orang ramai perlu mengamalka­n SOP untuk mencegah penyakit tersebut.

Sementara itu, Ting mengakui keputusan untuk membuka semula pasar malam adalah sesuatu yang sukar dibuat.

“Itu keputusan yang sangat sukar untuk membuka (pasar malam) atau tidak.

“Tetapi saya gembira kerana Jawatankua­sa Tetap Pasar, Penjaja dan Peniaga MPS bekerjasam­a dengan banyak pihak untuk membuka tempat ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai keadaan para penjaja pasar malam, beliau memberitah­u pendapatan mereka terjejas teruk sepanjang arahan penutupan sejak Januari lalu.

“Ada peniaga di sini langsung tidak berbuat apa-apa selepas pasar malam diarahkan ditutup. Ini bermaksud mereka tidak mempunyai pendapatan.

“Inilah masalah yang terpaksa kita hadapi dengan wabak ini, yang mana jika kita terus menutup pasar malam, para peniaga tidak ada pendapatan. Sebab itu, kita juga perlu melihat dari segi ekonomi, selain keselamata­n,” katanya.

Oleh itu katanya, adalah mustahak setiap orang mengamalka­n SOP untuk mengelak daripada jangkitan COVID-19.

Selain itu, beliau juga berharap agar kerajaan dapat memberikan vaksin secepat kepada rakyat.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mendaftar sebagai penerima vaksin tanpa perlu berfikir banyak perkara.

Pasar malam di Butterfly Garden ditutup sejak 16 Januari lalu berikutan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penyebaran COVID-19.

Pasar malam tersebut beroperasi dari jam 6 petang hingga 10 malam setiap hari.

Mengiringi Ting dalam lawatan itu ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Michael Tiang dan Pengerusi Jawatankua­sa Tetap Pasar, Penjaja dan Peniaga MPS Kaunselor Albert Tiang.

 ??  ?? TINJAU: Ting (tengah) meninjau sebuah gerai di pasar malam yang menjual pelbagai jenis makanan berpanggan­g, malam kelmarin.
TINJAU: Ting (tengah) meninjau sebuah gerai di pasar malam yang menjual pelbagai jenis makanan berpanggan­g, malam kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia