Utusan Borneo (Sarawak)

‘Lone Ranger Syamil’ aktif pecah rumah dan pasar raya tumpas

-

SUNGAI BULOH: Seorang penjenayah, ‘Lone Ranger Syamil’ yang aktif dalam kegiatan kes pecah rumah dan pasar raya sekitar Saujana Utama, dekat sini akhirnya tumpas setelah ditahan polis di sebuah rumah di Jalan Cemara 3, di sini pada 31 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata, suspek berusia 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam 25 kes jenayah pecah masuk rumah dan premis perniagaan sekitar Sungai Buloh sejak 2019 itu ditahan dalam operasi pintu (ops pintu) pada jam 2 pagi.

“Selain kawasan Saujana Utama, suspek turut aktif melakukan kegiatan curi dan pecah rumah di Kuang, Rawang, Bukit Sentosa dan Kuala Selangor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini, kelmarin.

Susulan penahanan itu, Shafa’aton berkata polis menyerbu sebuah rumah di

Saujana Utama dan kedai pajak gadai di Bukit Rahman Putra di sini dan merampas dua telefon bimbit, komputer riba, sekeping resit pajak gadai bernilai RM1,850 dan beberapa barangan kemas disyaki hasil curi.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah melakukan jenayah tersebut secara bersendiri­an dan hasil barangan curi akan disimpan untuk kegunaan sendiri manakala barang kemas dijual atau digadai di kedai pajak gadai berkenaan dengan keseluruha­n nilai sebanyak RM175,560.

“Suspek sebelum ini pernah ditahan dan dituduh serta masih dalam tempoh perbicaraa­n mahkamah kerana melakukan curi dan pecah masuk (premis) tetapi selepas dijamin, suspek tetap aktif menjalanka­n jenayah sama,“katanya

Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia