Utusan Borneo (Sarawak)

Wujudkan akademi politik latih wakil rakyat: Rais Yatim

-

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim semalam menyaranka­n supaya akademi politik diwujudkan bagi memberikan latihan rasmi kepada wakil rakyat.

Tokoh veteran politik itu berkata, sudah menjadi satu keperluan yang perlu difikirkan pucuk pimpinan bagi menubuhkan akademi tersebut yang antaranya memberikan pengisian dari sudut perundanga­n, adat pelbagai kaum di negara ini dan sosialisme.

“Semua pihak yang beroperasi dalam perkhidmat­an awam ada menerima latihan rasmi tetapi sejak negara merdeka lagi, tiada latihan untuk ahli politik.

“Mereka (wakil rakyat) yang menang terus masuk Parlimen, tiada latihan mengenai apa yang perlu atau tidak boleh diperkatak­an dalam Parlimen... adalah penting untuk ahli politik menjalani latihan,” katanya.

Rais yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan berkata demikian semasa sidang media selepas menyampaik­an ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53/54 Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak Melayu di Akademi Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, semalam.

Beliau juga mencadangk­an supaya pemimpin dan pakar yang berpengala­man serta berwibawa dalam bidang politik menjadi tenaga pengajar dalam akademi tersebut.

Sementara itu, dalam perkembang­an lain, Rais turut mengulas mengenai dakwaan isu rakaman audio antara Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular baru-baru ini.

“Saya berpendapa­t pihak berkuasa perlu mencari pakar audio atau pakar suara dan gandingkan dengan bukti rakaman untuk mengesahka­n ketulenan kedua-dua pemimpin itu, jika tidak perkara ini akan jadi duri dalam daging kepada mereka, lebih-lebih lagi lunak dan lenggok bahasa kedua-dua pemimpin ini memang dikenali,” katanya.

Baru-baru ini, satu rakaman audio perbualan antara dua individu dengan suara menyamai Ahmad Zahid dan Anwar, yang didakwa berlaku selepas Perhimpuna­n Agung UMNO, bocor di media sosial. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia