Utusan Borneo (Sarawak)

Nadal, Djokovic siap sedia kembali ke gelanggang di Monte Carlo

-

MONACO: Rafael Nadal berkata beliau cergas dan sihat ketika memulakan musim di permukaan tanah liat dengan kejohanan di Monte Carlo, kejohanan persediaan pertama menjelang kejohanan Grand Slam Terbuka Perancis.

Jaguh dari Sepanyol itu memburu kejuaraan peringkat Siri Master yang ke-12 beliau di sini, sebelum memburu kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ke-14 dan juga rekod kejuaraan Grand Slam yang ke-21.

“Satu bahagian penting musim sudah tiba untuk saya,” kata Nadal pada satu sidang media Ahad lepas.

“Saya fikir saya melakukan usaha yang betul untuk bersedia. Saya gembira dengan cara saya bermain, dan keadaan badan saya ketika ini.

“Saya berasa yakin. Saya fikir saya bermain dengan baik, berlatih dengan yakin dalam beberapa hari di Monaco, di Monte Carlo, sebelum kejohanan bermula. Jadi saya berasa sudah bersedia.”

Nadal memulakan perlawanan pada Rabu, perlawanan kompetetif pertama sejak tewas di suku akhir Terbuka Australia kepada Stefanos Tsitsipas.

Beliau mengalami kecederaan belakang di Melbourne dan memilih untuk tidak menyertai beberapa kejohanan sejak itu untuk memastikan cergas sepenuhnya untuk musim di permukaan tanah liat.

“Saya hanya melangkah satu persatu,” kata Nadal.

“Saya berharap untuk kekal sihat, itu adalah perkara yang paling penting. Jika saya kekal sihat untuk beberapa bulan ini, saya berharap untuk mempunyai peluang bersaing di peringkat tertinggi.”

Nadal diletakkan sebagai pilihan kedua dan berkemungk­inan bertemu Novak Djokovic di final jika semuanya berjalan lancar.

Nadal memenangi kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ke-13 tahun lepas untuk menyamai rekod Roger Federer yang memenangi 20 kejuaraan Grand Slam.

Djokovic juga berkata beliau ‘bersedia secara fizikal’ dan tidak sabar untuk kembali ke gelanggang di Monte Carlo.

Seperti Nadal, Djokovic belum bermain sejak Terbuka Australia di mana beliau muncul juara buat kali kesembilan dan memenangi 18 kejuaraan Grand Slam keseluruha­nnya.

Beliau berjaya memenangi kejohanan di Australia walaupun mengalami kecederaan di bahagian perut.

“Saya berasa bersedia secara fizikalnya,” kata pemain nombor satu dunia itu pada Ahad.

“Dari segi mental, saya rindukan untuk beraksi pada dua bulan terakhir kerana tidak saya tidak menyertai sebarang kejohanan. Jadi saya tidak sabar untuk bermain perlawanan pertama saya di sini.”

Ia adalah pada Rabu apabila beliau menentang sama ada pemain remaja dari Itali, Jannik Sinner atau pemain ranking ke-47, Albert Ramos-Vinolas dari Sepanyol.

Djokovic adalah juara di sini pada 2013 dan 2015 bagaimanap­un, beliau gagal melangkah ke suku akhir sejak memenangi kejuaraan terakhir pada 2015. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia