Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tahan lima remaja, sita 30 kenderaan disyaki terlibat lumba haram

-

KUANTAN: Polis menahan lima remaja dan menyita 30 kereta dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram dalam operasi di Taman Perindustr­ian Indera Mahkota 14 dekat sini, kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkua­saan) Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Bukit Aman Supt Dr Bakri Zainal Abidin berkata operasi selama tujuh jam bermula 5 petang itu mendapati lima remaja berkenaan memandu tanpa lesen dan laluan sepanjang 250 meter di taman itu sering dijadikan ‘litar’ bagi pelumba haram beradu kelajuan.

“Dua kereta akan dilepaskan seretak bagi menentukan kenderaan yang paling laju untuk diumumkan sebagai pemenang. Semua kenderaan terlibat didapati telah melakukan pengubahsu­aian pada enjin dan bahagian dalaman bagi membolehka­n pemandunya mencapai kelajuan maksimum,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Trafik Kuantan di sini malam kelmarin.

Menurut Bakri siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengenal pasti sama ada perlumbaan itu turut melibatkan wang pertaruhan kerana polis percaya ia bukan kali pertama dianjurkan.

Operasi berkenaan melibatkan tujuh pegawai dan 25 anggota dari JSPT Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Polis turut menyoal siasat beberapa wanita dan kanak-kanak, dipercayai ahli keluarga yang dibawa bersama-sama untuk menonton perlumbaan itu, sebelum mereka dilepaskan selepas proses dokumentas­i, katanya.

Bakri berkata siasatan dijalankan atas pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 81(3) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 kerana menduga kelajuan secara tidak sah yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, polis turut menyiasat jika berlaku pelanggara­n prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa di Pahang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia