Utusan Borneo (Sarawak)

Seorang maut, seorang cedera ditembak di luar hospital Paris

-

PARIS: Seorang lelaki bersenjata yang tidak dikenali menembak mati seorang lelaki dan mengakibat­kan seorang wanita mengalami kecederaan teruk di luar sebuah hospital Paris kelmarin sebelum meninggalk­an tempat kejadian dengan membonceng sebuah skuter, menurut polis dan beberapa saksi.

Pihak berkuasa menafikan ia adalah serangan pengganas, dengan kenyataan para saksi kelihatan menunjuk kepada satu pembunuhan yang disasarkan.

“Ia benar-benar kelihatan seperti satu hukuman mati gaya mafia, seperti dalam sebuah filem,” pemilik sebuah kafe yang terletak bertentang­an dengan hospital memberitah­u AFP, memohon supaya namanya hanya dinyatakan sebagai Arnaud.

Penyerang melepaskan beberapa das tembakan di hospital geriatrik swasta Henry Dunant yang dikendalik­an oleh Palang Merah di daerah mewah 16th, kata penyiasat.

“Seorang meninggal dunia dan seorang lagi mengalami kecederaan serius,” menurut sumber perkhidmat­an bomba.

“Ia kemungkina­n satu tindakan membalas dendam,” sumber rapat dengan siasatan memberitah­u AFP.

Satu lagi sumber rapat dengan siasatan menyatakan, lelaki yang meninggal dunia telah dilahirkan pada 1987 serta sangat terkenal terutama bagi pembunuhan, pengedaran dadah dan pertubuhan jenayah.

Dua mangsa telah dibawa ke dalam hospital selepas kejadian tembakan pada awal tengah hari. Lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan­nya.

“Saya mendengar enam das tembakan yang kuat ketika saya sedang makan kira-kira jam 1.30 petang,” penjaga bangunan berhampira­n memberitah­u AFP.

“Saya segera keluar, dan saya melihat seorang pemuda kulit hitam terbaring di atas tanah, mukanya ke bawah dan di luar hospital.

“Dia mungkin berusia 20 atau 30 tahun dan sudah meninggal dunia,” kata penjaga bangunan tersebut, yang menolak memberitah­u namanya.

Wanita yang tercedera bertugas sebagai pengawal keselamata­n di hospital, yang menguruska­n sebuah pusat vaksinasi COVID-19. Pendakwa raya menyatakan pada lewat kelmarin bahawa wanita itu berada dalam keadaan serius dan prognosisn­ya masih belum jelas.

Pendakwa raya menyatakan, mereka telah menganggap kejadian tembakan sebagai satu pembunuhan dan satu cubaan membunuh.

Datuk bandar daerah Francis Szpiner memberitah­u wartawan bahawa penyerang telah menembak beberapa kali ke arah lelaki itu.

“Ia kelihatan bahawa pengawal keselamata­n itu telah terkena tembakan peluru sesat,” jelasnya.

Szpiner berkata, kejadian tembakan adalah sama ada satu serangan pengganas atau satu serangan ke atas pusat vaksinasi.

Pemilik sebuah restoran di seberang jalan dari hospital memberitah­u stesen televisyen BFMTV bahawa dia turut mendengar bunyi tembakan.

“Saya berpaling ke belakang dan saya melihat seorang lelaki melepaskan tembakan. Kemudian saya melihat dia menghampir­i seorang lelaki yang terbaring di atas tanah dan melepaskan dua das tembakan di kepalanya untuk menamatkan riwayatnya,” katanya.

Penembak kemudian berjalan pergi dengan gaya yang sangat tenang, seakan-akan tiada apa-apa yang telah berlaku,” jelasnya.

Aboubakar Fofana, cef di restoran, berkata dia melihat penembak tersebut membonceng sebuah skuter X-Max kelabu yang sedang menungguny­a.

“Penunggang skuter itu berbadan agak besar, sementara penembak adalah lebih tinggi dan berbadan tegap,” menurut Fofana.

“Sepanjang masa tersebut dia berjalan dengan tenang, sangat tidak berperasaa­n, seakan-akan dia hendak pergi membeli secawan kopi,” ujarnya.

Polis menutup kawasan di sekitar hospital, dan pakar forensik sedang memeriksa tempat kejadian bagi petunjuk, kata wartawan AFP.

Selepas serangan, pihak hospital tidak mahu menerima masuk beberapa orang yang menunggu bagi temu janji dengan doktor, hanya membenarka­n pesakit yang penting sahaja.

 ?? — Gambar AFP ?? PERIKSA: Pegawai forensik memeriksa untuk petunjuk selepas seorang lelaki bersenjata membunuh seorang lelaki di luar hospital Henry Dunant, Paris kelmarin.
— Gambar AFP PERIKSA: Pegawai forensik memeriksa untuk petunjuk selepas seorang lelaki bersenjata membunuh seorang lelaki di luar hospital Henry Dunant, Paris kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia