Utusan Borneo (Sarawak)

19 ditahan disyaki terlibat judi dalam talian

-

BUTTERWORT­H: Polis menahan 19 individu termasuk tujuh wanita kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian menerusi 12 serbuan di pelbagai premis sekitar Butterwort­h dan Mak Mandin, di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, pasukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah SPU menjalanka­n Ops Dadu bermula jam 12 tengah hari hingga tujuh malam.

“Dalam operasi itu, polis menahan 12 lelaki dan tujuh wanita berusia 22 hingga 58 tahun termasuk empat pelanggan, serbuan membabitka­n premis perniagaan yang disewa mereka dengan berselindu­ng di sebalik kedai telefon atau kedai kopi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Ada juga serbuan dijalankan di kawasan lapang dan dalam kereta kerana penganjur menjalanka­n kegiatan perjudian online (dalam talian) di situ malah siasatan kami juga mendapati terdapat premis-premis berkenaan pernah diserbu dalam tempoh dua tahun sebelum ini kerana kesalahan sama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya menerusi serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya 14 unit telefon bimbit, lima alat pencetak, 79 kertas bercetak angka, kalkulator, kerusi dan meja serta sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dijadikan tempat perjudian dalam talian.

Noorzainy berkata pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM13,581 daripada mereka dan polis dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pemotongan bekalan elektrik di premis yang diserbu.

“Semua mereka yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat menurut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia