Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: KES HARIAN TERTINGGI, 607 DI SARAWAK SEMALAM

-

KUCHING: Sarawak mencatatka­n kes COVID-19 harian tertinggi dengan 607 kes semalam yang menjadikan keseluruha­n kes setakat ini kepada 20,959 kes.

Ia merupakan kali pertama Sarawak mencecah lebih 600 kes dengan kes harian tertinggi sebelum ini ialah 555 kes iaitu pada Jumaat lepas.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan media berkata, daripada 607 kes baharu COVID-19, kes tertinggi direkodkan di Bintulu iaitu 130 kes, diikuti Kuching (106), Sibu (106), Mukah (52), Miri (49), Kapit (33), Meradong (29), Saratok (23), Samarahan (14), Sarikei (14), Betong (8), Bukit Mabong (8), Selangau (8), Subis (8), Dalat (5), Kanowit (3), Matu (3), Julau (2), Serian (2), Sri Aman (2), Asajaya (1) dan Beluru (1).

Menurutnya, jumlah kes semalam paling tinggi dilaporkan disebabkan terdapat kes yang dilaporkan di Pusat Latihan Polis Sarawak (PULAPOL) iaitu 61 kes dan mereka ditempatka­n di dalam pusat latihan yang mana keadaan adalah terkawal.

“Sarawak turut merekodkan empat kematian melibatkan jangkitan COVID-19 yang menjadikan jumlah kematian meningkat kepada seramai 128 orang di negeri ini.

“Kematian ke-125 melibatkan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) berumur 36 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Miri bagi tujuan pembedahan elektif dan kes dikesan positif COVID-19 pada 10 April 2021 melalui ujian saringan rT-PCR, “katanya lanjut.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2021. Kes ini mempunyai ko-morbid penyakit ‘systemic lupus erythemato­sus’,” katanya.

Sementara itu, JPBNS memaklumka­n kematian ke-126 melibatkan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) berumur 67 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami masalah pendarahan saluran percernaan dan saringan ujian rt-PCR telah dibuat dan dikesan positif COVID-19 pada 31 Mac.

Katanya, keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 12 April.

Kes ini mempunyai komorbid penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit radang hati (Hepatitis) dan penyakit buah pinggang tahap akhir.

Bagi kematian ke-127 kata JPBNS, ia melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 67 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana kesesakan pernafasan.

Tambahnya, kes mengalami gejala demam, batuk dan lemah badan beberapa hari yang lepas.

Saringan ujian rT-PCR telah dibuat dan dikesan positif COVID-19 pada 2 Mac.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 12 April dan kes ini mempunyai komorbid penyakit darah tinggi, kencing manis, dislipidem­ia, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang kronik.

“Dimaklumka­n kes ini daripada Kluster Kiba.

“Manakala kematian ke128 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 42 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami kesesakan pernafasan.

“Kes juga mengalami gejala batuk dan kurang selera makan beberapa hari yang lepas.

“Saringan ujian rT-PCR telah dibuat dan dikesan positif COVID-19 pada 6 April,” katanya.

Menurut JPBNS, keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 12 April dan kes ini mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan strok.

Mengenai kes baharu semalam, JPBNS berkata daripada 607 kes baharu yang dilaporkan, seramai 41 orang menunjukka­n tanda dan mengalami gejala jangkitan COVID-19 semasa saringan dijalankan.

“Seramai 372 kes yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia