Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita dipenjara lima tahun angkara dadah

-

KUCHING: Padah mengambil dadah berulang kali, seorang wanita bekerja sendiri dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, Catherine Ngan Yoke Lee, 36, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapny­a oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maris Agan.

Wanita itu didapati mengambil dadah jenis Amphetamin­e dan Methamphet­amine pada 25 Januari lalu, jam 4.20 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (1) akta sama, yang memperuntu­kkan hukuman penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun serta tidak melebihi tiga sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memaklumka­n mahkamah bahawa tertuduh mempunyai tiga sabitan lampau membabitka­n kes penyalahgu­naan dadah pada tahun 2020, juga di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun, selain memerintah­kan hukuman penjara dijalan berkuat kuasa hari ini.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya di tempat awam.

Tertuduh, Andy Ang Choon Siang, 26, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dibacakan terhadapny­a di hadapan Hakim Jason Juga.

Seksyen ini membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah pedang yang kebiasaann­ya digunakan sebagai senjata dan bukan sebagai alat pertanian, peralatan rumah atau kebun.

Kesalahan itu didakwa dilakukann­ya semasa berada di Lorong 1F Jalan Song di sini, pada 9 April lalu, jam 1 pagi.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia