Utusan Borneo (Sarawak)

JPBNS mohon dibekalkan vaksin CanSino mudahkan vaksinasi rakyat di pedalaman

-

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memohon dibekalkan dengan vaksin CanSino bagi mempermuda­hkan proses vaksinasi rakyat di pedalaman.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, vaksin CanSino hanya memerlukan satu dos suntikan dan memohon sekurang-kurangnya 600,000 hingga 800,000 vaksin ini dibekalkan kepada Sarawak.

“Ini akan mempermuda­hkan proses vaksinasi rakyat kita di pedalaman supaya kita tidak perlu berulang-alik dua kali untuk vaksinasi.

“Kita mengambil semua langkah yang perlu termasuk persediaan untuk membeli vaksin supaya sasaran kita untuk vaksin rakyat kita menjelang hujung Ogos dapat dicapai,” katanya pada sidang media semalam.

Uggah yang juga pengerusi JPBNS menambah, perancanga­n Sarawak adalah untuk memberi vaksin kepada semua mereka yang layak.

Sebab itu katanya, beliau mengadakan kunjungan terhadap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin untuk berbincang dan menyampaik­an perancanga­n vaksinasi Sarawak.

Perancanga­n tersebut katanya, diterima baik oleh Khairy tetapi yang paling penting adalah bekalan vaksin.

“Khairy juga bersetuju untuk kawasan luar bandar, suntikan vaksin dibuat tidak ikut fasa dua atau tiga. Kita akan beri suntikan vaksin kepada semua pada satu masa.

“Sebab kalau kita hendak pilih siapa yang layak untuk kategori dua atau tiga, ia akan menyulitka­n khususnya kawasan yang jauh di luar bandar,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran fasa kedua suntikan vaksin yang akan bermula 19 April ini, mesyuarat diadakan bersama semua residen berhubung persediaan pusat pemberikan vaksin.

Hasil mesyuarat tersebut, Uggah berkata berpuas hati dengan persediaan termasuk dari segi tenaga petugas.

Uggah turut merayu kepada mereka yang belum mendaftar untuk segera berbuat demikian sama ada menerusi aplikasi MySejahter­a mahupun di Pejabat Daerah atau Klinik Kesihatan di daerah masing-masing.

Setakat Rabu lepas katanya, kadar peratusan yang layak untuk suntikan vaksin di Sarawak adalah yang tertinggi dalam negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia