Utusan Borneo (Sarawak)

Satu lagi kluster baharu COVID-19 diisytihar di Sarawak

-

KUCHING: Satu kluster baharu telah diisytihar­kan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak semalam iaitu Kluster Jalan Sultan Iskandar di Bintulu, menjadikan 49 kluster masih aktif di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media berkata, kluster berkenaan adalah satu kluster tempat kerja yang melibatkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Jalan Sultan Iskandar, di daerah Bintulu.

“Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-18,172 yang merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang telah disaring melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Bintulu pada 5 April 2021 dan telah disahkan dijangkiti COVID19 melalui ujian rT-PCR pada 6 April 2021.

“Indeks kes yang banyak melakukan tugasan di lapangan di sekitar bandar Bintulu dan daerah Sebauh berkemungk­inan telah mendapat jangkitan daripada komuniti semasa bertugas,” katanya yang juga pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut dan saringan ke atas ahli keluarga, rakan sekerja dan kontak kasual kepada kes indeks ini, tambahan seramai 25 kes telah dikesan positif COVID-19.

Katanya, sejumlah 440 individu telah disaring melibatkan kluster ini, di mana 26 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks.

“Manakala 358 orang negatif saringan pertama dan 56 individu menunggu keputusan ujian.

“Kesemua kes positif melibatkan kluster ini telah dirujuk ke Hospital Bintulu dan telah dimasukkan ke PKRC di Bintulu bagi tujuan pengasinga­n dan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumka­n satu kluster telah diisytihar­kan tamat semalam, iaitu Kluster Bukit Tunggal di Julau selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari lepas.

Katanya, dengan kluster baharu iaitu Kluster Jalan Sultan Iskandar, Bintulu jumlah kluster aktif di Sarawak kini sebanyak 49 kluster.

“Sebanyak sembilan kluster telah merekodkan 123 penambahan kes baharu manakala 40 kluster tidak merekodkan penambahan kes,” katanya.

Berhubung status daerah COVID-19, Uggah berkata daerah Bukit Mabong telah bertukar status daripada Kuning kepada Jingga selepas merekodkan sejumlah 26 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari.

Katanya, ia menjadikan jumlah daerah berstatus Jingga telah meningkat kepada lima daerah dan daerah berstatus Kuning menurun kepada 16 daerah.

“Manakala 15 daerah kekal berstatus Merah dan empat lagi daerah kekal berstatus Hijau,” kata beliau.

Empat daerah di negeri ini yang masih kekal berstatus Hijau ialah Telang Usan, Lundu, Pusa dan Simunjan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia