Utusan Borneo (Sarawak)

KKM HANTAR LEBIH 400 PETUGAS KE SARAWAK

-

PUTRAJAYA: Seramai 430 petugas Kementeria­n Kesihatan (KKM) akan dihantar ke Sarawak pada 21 April ini (Rabu) bagi menambah petugas kesihatan dalam menangani penularan pandemik COVID-19, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya keputusan untuk menambah petugas kesihatan itu dibuat setelah beliau melakukan lawatan ke Sarawak pada Isnin dan Selasa lepas termasuk melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Stadium Perpaduan, Kuching.

“Berdasarka­n keadaan dan dapatan daripada lawatan tersebut, kami dapati wujud keperluan segera untuk menambah petugas kesihatan di Sarawak. Penambahan akan dilaksanak­an secara berperingk­at,” katanya pada sidang media selepas melancarka­n buku Malaysia Health Sector Response to COVID-19: Perspectiv­es From The Field di kementeria­nnya, di sini semalam.

Kelmarin, Sarawak merekodkan 489 kes baharu COVID-19 dengan Kluster Tembok Sri Aman dan Kluster Jalan Puncak Borneo menjadi punca utama kes positif.

Dr Adham berkata, mengikut data yang dikumpul Sarawak memerlukan kira-kira 1,436 petugas kesihatan termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, pegawai sains mikrobiolo­gi, jururawat dan pemandu.

“Kesemua petugas kesihatan yang akan dihantar (ke Sarawak) terdiri daripada mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19,” kata Dr Adham.

Menurut Dr Adham, hampir 600,000 petugas barisan hadapan telah mendapat suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dan hampir 470,000 pula telah lengkap dua dos.

Mengenai taburan kes mengikut daerah di Sarawak, beliau berkata bagi tempoh 1 April hingga semalam, daerah Meradong mencatat jumlah tertinggi iaitu 771 diikuti Julau (605), Bintulu (556), Kapit (387), Beluru (343) dan Sibu (283).

“Ini adalah antara daerah yang mempunyai kadar kes yang tinggi melebihi average negeri iaitu per 100,000.

“Jadi KKM akan hantar lebih ramai petugas di kawasan itu. Selain itu, KKM akan gerakkan petugas kesihatan dari daerah yang tiada kes seperti Simunjan, Pusa dan Lundu,” katanya.

Mengenai penggunaan vaksin AstraZenec­a, Dr Adham berkata keputusan mengenainy­a akan diumumkan selepas mesyuarat Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) minggu depan.

Media melaporkan Denmark pada Selasa lepas (13 April) mengumumka­n keputusan untuk menghentik­an penggunaan vaksin AstraZenec­a sekali gus menjadi negara Eropah pertama berbuat demikian susulan kebimbanga­n kesan sampingan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia