Utusan Borneo (Sarawak)

Guru didakwa keluar ayat tidak wajar ditempatka­n di JPN Selangor, kata KPM

-

KUALA LUMPUR: Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), Selangor yang didakwa seorang murid mengeluark­an kata-kata tidak wajar ketika sesi pengajaran dan pembelajar­an, kini ditempatka­n di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga siasatan kes itu selesai.

Kementeria­n Pendidikan (KPM) dalam kenyataan menyebut tindakan seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes berkenaan selepas laporan polis dibuat murid terbabit pada 24 April lepas.

Kementeria­n itu juga meneliti secara terperinci perkara yang tular mengenai komen didakwa dibuat pengetua SMKPA terhadap murid tersebut melalui laman Facebook.

“KPM mengesahka­n satu laporan polis dibuat pengetua berkenaan di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan beliau memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam,” menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu juga, KPM menjelaska­n Surat Pemberitah­uan Ketidakhad­iran ke Sekolah: Amaran Pertama yang diterima murid berkenaan secara umumnya dikeluarka­n bagi memastikan ibu bapa atau penjaga dan pihak sekolah mengetahui dan cakna mengenai kehadiran serta keberadaan murid semasa sesi persekolah­an.

Menurut KPM, pemantauan kehadiran murid ke sekolah dilaksanak­an melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

Kenyataan itu menyebut surat pemberitah­uan dikeluarka­n sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak berturut-turut tanpa mengemukak­an sebab secara bertulis kepada pihak sekolah dan guru.

“Selain itu, tindakan ini juga membolehka­n KPM memantau kemungkina­n berlaku keciciran dalam kalangan murid dan mengambil tindakan intervensi sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

KPM memaklumka­n bagi tempoh 16 hingga 30 April lepas, sekolah itu mengeluark­an enam Surat Pemberitah­uan Ketidakhad­iran ke Sekolah: Amaran Pertama kepada ibu bapa atau penjaga apabila anak mereka tidak hadir ke sekolah tanpa sebab.

Kenyataan itu menyebut kementeria­n sentiasa mengutamak­an aspek keselamata­n dan kebajikan murid serta seluruh warga sekolah.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai seorang pelajar perempuan yang mendakwa guru sekolahnya membuat jenaka berhubung isu rogol. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia