Utusan Borneo (Sarawak)

Aidilfitri tetap bermakna melalui teknologi terkini

-

MIRI: Pesuruhjay­a Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak Jofri Jaraiee menyeru masyarakat setempat agar terus mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk tidak pulang ke kampung halaman masing-masing pada musim perayaan ini.

Jofri dalam satu kenyataan medianya semalam berkata, ia demi keselamata­n dan kesihatan ahli keluarga dan menasihati masyarakat agar bertabah dan bersabar menyambut suasana perayaan dalam norma baharu.

“Kes positif COVID19 di Sarawak semakin meningkat setiap hari dan ini amat membimbang­kan.

“Oleh itu, amat penting untuk kita mematuhi setiap arahan dan SOP bagi bersama-sama membendung penularan COVID-19.

“Walaupun tidak dapat berjumpa secara fizikal dengan ahli keluarga lain seperti sebelum ini, namun ikatan persaudara­an sesama umat Islam terutama kita yang menyambut Hari Raya Aidilfitri ini telah menjadi kewajipan kita untuk meneruskan­nya.

“Malah dengan kemudahan teknologi masa kini, kita boleh sahaja berhubung secara terus dengan ahli keluarga masing-masing.

“Memang tidak sama, tetapi sekurang-kurangnya kita memainkan peranan untuk membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19,” jelasnya.

Katanya, sekiranya rakyat mahu kes positif dikurangka­n dan penularan wabak tidak berlaku, maka amat penting untuk rakyat tidak mementingk­an diri dan bersama bertanggun­gjawab memastikan arahan dan SOP dipatuhi.

“Petugas barisan hadapan kita juga tidak mempunyai waktu untuk bersama ahli keluarga mereka jika mereka harus merawat peningkata­n jumlah pesakit positif COVID-19,” katanya.

Jelas Jofri, walaupun tidak dapat bersua muka dan bersalaman dengan ahli keluarga lain yang jauh di mata namun ucapan Selamat Hari Raya melalui teknologi masa kini turut bermakna.

Dalam perkembang­an lain tambahnya, PAS Sarawak di sini turut terus melaksanak­an ‘Program Ziarah Ramadan dan Sumbangan Hari Raya’ tahun ini kepada asnaf fakir miskin di sekitar Kampung Tudan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia