Utusan Borneo (Sarawak)

PKP: Solat fardu, Jumaat, sunat Aidilfitri dibenarkan di Perak

-

IPOH: Solat fardu, Jumaat, jenazah dan sunat Aidilfitri dibenarkan dengan tidak melebihi 50 jemaah di masjid dan surau di seluruh Perak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata, bilangan jemaah itu juga termasuk pegawai masjid dan jawatankua­sa kariah di masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.

Beliau berkata, kebenaran itu termaktub dalam pekeliling pelaksanaa­n aktiviti keagamaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang turut memberi kebenaran kepada 20 jemaah termasuk pegawai masjid dan jawatankua­sa kariah di masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang 1,000 jemaah.

“Ia termasuk surau-surau yang diberi kebenaran khas, kawasan Kem Tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang,” katanya.

Menurutnya, kuliah juga dibenarkan dalam ruang waktu antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu solat Isyak.

“Tazkirah tidak melebihi 30 minit kepada jemaah yang berada di dalam masjid dan surau sementara menanti azan solat Jumaat turut dibenarkan,” katanya.

JAIPk turut menetapkan kehadiran menunaikan solat hanya dibenarkan kepada warganegar­a lelaki dan berusia 12 tahun ke atas.

Solat sunat Aidilfitri di Perak juga dibenarkan di kawasan lapang dan terbuka tidak melebihi 50 orang dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Takbir raya pula dibenarkan di masjid dan surau, namun takbir dari rumah ke rumah serta ziarah kubur tidak dibenarkan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia