Utusan Borneo (Sarawak)

Kes denggi di Kelantan menurun lebih 90 peratus

-

KOTA BHARU: Kumulatif kes denggi di Kelantan menunjukka­n penurunan sebanyak 93.8 peratus iaitu 92 kes sejak Januari hingga kini, berbanding 1,483 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata malah, tiada kes kematian akibat denggi dicatatkan dalam tempoh yang sama bagi tahun ini dan tahun sebelumnya.

“Pada tahun ini juga sejumlah empat episod wabak denggi dilaporkan di Kelantan berbanding 139 episod wabak denggi dalam tempoh yang sama pada 2020. Buat masa ini, tiada wabak denggi yang aktif di seluruh Kelantan,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata bagaimanap­un, hingga kini hasil pemeriksaa­n pasukan kesihatan amat mengecewak­an kerana masih terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes ditemukan di sekitar dalam dan luar rumah kediaman penduduk serta premis melibatkan seluruh daerah di Kelantan.

“Pada tahun ini, hasil pemeriksaa­n pembiakan aedes ke atas 72,084 kediaman serta premis mendapati 1,262 daripadany­a mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

“JKNK juga mengeluark­an 162 kompaun yang dicadang dengan nilai RM74,000 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Sekiranya rumah kediaman seseorang itu berada di kawasan wabak denggi dan hasil pemeriksaa­n menjumpai pembiakan nyamuk aedes maka kompaun (saman) maksimum sebanyak RM500 akan dikeluarka­n (tidak dibenarkan untuk rayuan penguranga­n),” tambahnya.

Dr Zaini turut berkata, sebanyak 41 notis bagi arahan kerja pembersiha­n dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes turut dikeluarka­n.

Justeru, beliau menyeru seluruh penduduk Kelantan agar membuat pemeriksaa­n sendiri dengan memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di persekitar­an kediaman atau premis masing-masing. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia