Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: Kluster Sungai Rayah diisytihar, libatkan rumah panjang

-

KUCHING: Satu kluster baharu jangkitan COVID-19 iaitu Kluster Sungai Rayah, Meradong diisytihar semalam melibatkan sebuah rumah panjang di Bintangor.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata seramai 50 individu telah disaring di bawah kluster ini di mana 13 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, manakala 37 kes didapati negatif.

“Kesemua kes positif COVID-19 ini telah dirujuk ke Hospital Sarikei serta telah dimasukkan ke PKRC di Daerah Sarikei dan Meradong bagi tujuan pengasinga­n dan rawatan lanjut.

“Kontak rapat kepada kes positif di bawah kluster ini juga telah dikenal pasti dan telah diberi arahan kuarantin,” katanya.

JPBNS turut memaklumka­n satu kluster iaitu Kluster Jalan Sultan Iskandar, Bintulu ditamatkan.

Jumlah kluster yang masih aktif kini adalah sebanyak 83 kluster dengan 12 kluster merekodkan 65 penambahan kes baharu, manakala 71 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

JPBNS turut membuat keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD) bagi Rh Saran Belang, Nanga Tau di Tatau.

Manakala PKPD bagi Rh Payau, Emperan Datuk, Sg Pinang di Pakan dilanjutka­n mulai 14 hingga 27 Mei 2021.

Dalam pada itu, Daerah Julau telah kembali ke status

Jingga daripada status Merah setelah merekodkan hanya 40 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Merah telah menurun kepada 27 daerah.

Manakala 10 daerah iaitu Lawas, Matu, Tanjung Manis, Simunjan, Marudi, Asjaya, Dalat, Daro, Lubok Antu dan Limbang kekal berstatus Kuning.

Dua daerah iaitu Telang Usan dan Kabong masing-masing kekal berstatus Hijau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia