Utusan Borneo (Sarawak)

Hab pertanian OKU beri peluang insan istimewa jana pendapatan

-

JOHOR BAHRU: Hub Pertanian Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan OKU Johor Bahru di Pasir Gudang yang diwujudkan pada Disember tahun lalu, memberi ruang dan peluang kepada Orang Kurang Upaya (OKU) untuk terus membuktika­n kemampuan diri di sebalik kekurangan yang ada.

Inisatif itu digerakkan oleh Pengerusi Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan OKU Johor Bahru Jamaluddin Abdul Malik dengan kerjasama Jawatankua­sa Penduduk Zon Tanjung Puteri Resort serta dibantu Ahli Majlis Bandar Raya Pasir Gudang Mohd Rahim Amatermin.

Lebih menarik, hab seluas 0.40 hektar yang pertama seumpamany­a untuk OKU di Johor itu, ditanam dengan pelbagai jenis tanaman antaranya kacang panjang, cili merah, cili padi, buah lemon dan terkini bayam Brazil turut memberikan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada setiap peserta.

Bagi Mohd Aini Azmi, 31, yang kudung sebelah kaki kanan akibat kemalangan pada 2019, dia menyertai hab pertanian itu pada Januari lalu selepas mengetahui kewujudann­ya menerusi Facebook, kerana sedar perlu melakukan sesuatu dan mencabar diri sendiri demi kelangsung­an hidup bersama isteri selepas lebih setahun tidak bekerja.

“Alhamdulil­lah, amat bagus program seperti ini kerana saya dapat ilmu dan masa saya tidak dibazirkan begitu sahaja. Saya bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang… saya rasa seronok terutama untuk melihat hasil yang kami tanam ini dapat dijual nanti,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Naiwayati Harbal, 43, berkata, hab pertanian tersebut dapat membantu insan senasibnya bukan sahaja belajar sesuatu yang baharu tetapi juga menjana pendapatan bagi membantu suami menyara keluarga.

Ibu kepada dua anak itu yang mengalami kecederaan saraf tunjang akibat kemalangan jalan raya sembilan tahun lalu, berkata disebabkan keterbatas­an untuk bergerak, dia dihantar ke hab tersebut saban hari oleh suami dan anak-anak.

“Alhamdulil­lah, memang tempat ini bagus kerana banyak aktiviti boleh dilakukan, tiadalah asyik duduk di rumah, tak stres, boleh jumpa kawan-kawan sambil bersembang dan bercerita,” katanya.

Sementara itu, Jamaluddin berkata matlamatny­a membuka hab pertanian tersebut bertujuan memastikan lebih ramai OKU mampu berdikari dan tidak menyerah pada takdir.

Katanya, terdapat kira-kira 10 OKU pelbagai masalah seperti OKU fizikal dan lembam menyertai hab tersebut dan selain memberikan elaun bulanan RM300, pihaknya turut memohon elaun pekerjaan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk setiap peserta.

“Kami merancang untuk menambah baik hab ini dengan landskap yang menarik, memasang lampu pada waktu malam serta menyediaka­n pelbagai kemudahan seperti tandas untuk menarik kedatangan pengunjung,” katanya sambil menambah hasil pertama hab akan dijual minggu ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia