Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih banyak syarikat swasta, korporat diseru tampil menyumbang kepada barisan hadapan

-

MIRI: Menteri Pengangkut­an Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga Menteri Bertanggun­gjawab bagi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri berharap lebih banyak syarikat swasta, korporat dan dermawan tampil untuk menyumbang kepada barisan hadapan di sini.

Lee berkata, pasukan perubatan di Hospital Miri kini amat memerlukan peralatan perubatan, sut perlindung­an kesihatan diri (PPE) dan lain-lain berikutan peningkata­n kes COVID-19 di Miri sejak kebelakang­an ini.

“Saya berharap akan ada dermawan untuk tampil menyumbang peralatan perubatan, PPE dan lainlain kepada Hospital Miri memandangk­an peningkata­n baru-baru ini dalam jumlah kes positif COVID-19 di Miri,” katanya di sini selepas menerima sumbangan daripada sebuah syarikat swasta, semalam.

Syarikat berkenaan yang enggan dikenali menghulurk­an sumbangan berupa 13 set penapis air atas meja (air panas, suam dan sejuk); dua set penapis air berdiri (panas, suam dan sejuk); tiga set Sistem Air Reserve Osmosis (RO) dan 15 set botol RO dengan kapasiti lima gelen air kepada Hospital Miri untuk keperluan kakitangan­nya.

Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh wakil syarikat kepada Lee bagi pihak Hospital Miri sebagai tanda penghargaa­n kepada barisan hadapan di sini.

Jurucakap syarikat memberitah­u sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungja­wab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit.

Bulan lalu, syarikat itu juga telah menyumbang­kan lima unit bantuan pernafasan jenama Philips untuk Hospital Miri yang amat berguna untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen.

Turut hadir menyaksika­n penyerahan sumbangan itu kepada pihak hospital ialah Pemangku Residen yang juga pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia