Utusan Borneo (Sarawak)

MBM cadang k’jaan gubal Akta Kesejahter­aan Generasi Masa Depan

-

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangk­an kerajaan menggubal Akta Kesejahter­aan Generasi Masa Depan yang berteraska­n Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembanguna­n Lestari 2030.

Presidenny­a Jufitri Joha berkata, ini bertujuan menggesa pemimpin politik, pembuat polisi dan pentadbir supaya sentiasa memikirkan hak dan kesejahter­aan generasi masa depan dalam setiap keputusan dan dasar yang dibuat.

“Hak dan kesejahter­aan generasi muda belia sebagai aset generasi masa depan negara wajib dipertahan­kan dan dipelihara daripada tangan-tangan rakus yang menjarah kekayaan negara, perosak alam sekitar, para perasuah dan pengkhiana­t yang hanya memikirkan tembolok mereka dan langsung tidak mempedulik­an nasib dan masa depan generasi muda belia,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Belia Negara, semalam.

Selaras dengan Dasar Belia Malaysia 2015, MBM juga menggesa kerajaan agar segera menggubal Akta Kerja Belia Profesiona­l bagi mewujudkan ekosistem dan profesion pekerja belia profesiona­l.

Ini bagi membimbing jati diri dan menggilap bakat generasi muda belia secara profesiona­l dan sepenuh masa, sekali gus mengiktira­f peranan pengamal kerja belia dan mewujudkan kerjaya berasaskan kemanusiaa­n yang semakin penting dewasa kini, katanya.

MBM turut meminta kerajaan terus memberikan bantuan tunai kepada belia dan rakyat bagi menyara keperluan harian dan membiayai kos pendidikan di samping memperkuku­h sistem sekuriti sosial.

Katanya, aspek pendidikan dan pekerjaan generasi muda wajib terus dijamin bagi berhadapan dengan situasi pandemik yang tidak menentu dan meninggalk­an kesan mendalam terhadap kesejahter­aan dan masa depan kumpulan itu.

Menurut Jufitri, belia bukan sahaja turut terkesan dari aspek ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan kesihatan mental tetapi masa depan mereka juga kelihatan kelam dan tidak menentu disebabkan situasi pandemik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia