Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita rugi RM5,320 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

-

BINTULU: Seorang wanita mengalami kerugian RM5,320 akibat ditipu oleh sindiket pinjaman tidak wujud di laman sosial Facebook dalam kejadian pada 10 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superitend­en Zulkipli Suhaili berkata, laporan polis telah dibuat wanita berumur 32 tahun itu pada 13 Julai lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku sejak 10 Julai 2021 apabila mangsa melihat iklan tawaran pinjaman wang dari sebuah syarikat ketika mangsa melayari laman sosial Facebook.

“Mangsa telah berhubung dengan pentadbir Facebook berkenaan dan telah dihubungi oleh seorang lelaki.

“Mangsa kemudian telah menghantar gambar MyKad dan penyata akaun bank untuk meluluskan permohonan pinjaman tersebut kepada lelaki tersebut,” ujarnya dalam kenyataan di sini, semalam.

Susulan itu katanya, mangsa telah diarahkan untuk membuat transaksi ke akaun bank sebanyak RM2,000 dan membuat transaksi kedua sebanyak RM3,320 untuk menjamin pinjaman mangsa.

“Selepas itu mereka (suspek) sekali lagi menghubung­i mangsa mengatakan pemarkahan mangsa tidak diluluskan dan meminta mangsa membuat pembayaran sekali lagi sebanyak RM6,050 tetapi mangsa tidak berbuat demikian kerana mangsa merasa telah ditipu oleh pinjaman tidak wujud tersebut,” katanya.

Justeru Zulkipli berkata, polis Bintulu sentiasa mengingatk­an orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran pinjaman dengan faedah rendah mahu pun dengan pelbagai tawaran yang diberikan.

“Orang ramai juga dinasihati agar membuat semakan dengan pihak berkenaan sebelum membuat sebarang pinjaman dari laman sosial Facebook,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia