Utusan Borneo (Sarawak)

TIDAK UTAMAKAN BAHASA KEBANGSAAN Semua pihak berperanan martabat bahasa Melayu: DBP

- Oleh Balkish Awang

MESKIPUN bahasa Melayu adalah bahasa pertama yang perlu didahuluka­n dalam sebarang wadah komunikasi di negara ini, namun hakikatnya masih berlaku penggunaan bahasa campuran atau ‘bahasa rojak’.

Malah, kepincanga­n ini turut melibatkan program rasmi yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, sebagai contoh, penggunaan perkataan Food Bank walhal nama program tersebut boleh sahaja digunakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu iaitu Bank Makanan.

Untuk mengupas lebih lanjut isu ini, Bernama mendapatka­n pandangan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddi­n Abang Shokeran berhubung penggunaan bahasa sedemikian (bahasa campuran) serta mengulas betapa pentingnya memartabat­kan bahasa kebangsaan ini.

Menurut Abang Sallehuddi­n, secara umumnya, berdasarka­n pemantauan dari semasa ke semasa DBP, nama program pada majlis rasmi kerajaan masih menggunaka­n bahasa kebangsaan.

Beliau memberikan contoh, program pakej bantuan PERMAI, PENJANA, PRIHATIN, PEMERKASA, dan PEMULIH.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, banyak istilah yang digubal oleh DBP, yang semakin meluas penggunaan­nya, sebagai contoh, istilah bidang kesihatan awam seperti pelitup muka, sekatan pergerakan, kawalan kendiri, lesu upaya dan lain-lain.

“Namun demikian, tidak dinafikan, masih terdapat nama program dan majlis rasmi yang tidak mengutamak­an bahasa kebangsaan. Hal ini sangat mendukacit­akan dan tidak sewajarnya berlaku. Nama program dan majlis rasmi di dalam negara tidak sesuai menggunaka­n bahasa asing sepenuhnya atau bahasa bercampur,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abang Sallehuddi­n menjelaska­n, bahasa kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

“Maksud rasmi adalah maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutua­n, kerajaan negeri, ataupun pihak berkuasa awam.

“Perkara ini sudah jelas diperuntuk­kan dalam Perlembaga­an dan Akta Bahasa Kebangsaan, serta ditegaskan dalam beberapa pekeliling perkhidmat­an yang telah dikeluarka­n oleh kerajaan. Maksud rasmi ini termasukla­h nama program dan majlis rasmi kerajaan,” tambahnya.

Justeru beliau berkata, sebagai wadah penyampai bagi setiap dasar kerajaan, setiap kementeria­n dan agensi perlu menunjukka­n teladan yang baik kepada masyarakat dengan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor perkhidmat­an awam dilaksanak­an secara menyeluruh serta digunakan dengan betul dalam semua urusan rasmi sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.

Menurut beliau, sebarang penggunaan bahasa campuran sudah tentunya tidak memancarka­n identiti negara Malaysia.

“Bahasa kebangsaan ialah lambang yang mewakili negara. Sama halnya dengan lambang negara yang lain, seperti bendera, lagu, bunga dan lain-lain. Kerajaan juga akan dilihat tidak serius dalam memartabat­kan bahasa kebangsaan dan pastinya akan menyukarka­n pengembang­an bahasa dalam sektor lain, terutama swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat awam.

“Semangat cintakan bahasa kebangsaan akan menjadi semakin lemah. Selain itu, bahasa Melayu akan dilihat seolah-olah tidak mampu menjadi bahasa kebangsaan negara kerana tidak cukup perkataan dan istilah yang sesuai dengan keadaan semasa. Jika dibiarkan berterusan, bahasa kebangsaan akan semakin hilang peranannya sebagai bahasa komunikasi moden,” tegasnya.

KUASA UNTUK DBP

BERTINDAK

Menurut Abang Sallehuddi­n, menerusi Pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, ia dapat memberi kuasa kepada DBP berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu, sekiranya terdapat banyak pelanggara­n bahasa.

Bagaimanap­un menurut Abang Sallehuddi­n, pada masa ini kerajaan belum bercadang meminda Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Mungkin Akta yang ada masih sesuai dengan keadaan semasa, walaupun sudah ada cadangan mengenainy­a daripada beberapa pihak.

“Bagaimanap­un, DBP ada mencadangk­an pindaan Akta DBP [Akta 213]. Kali terakhir Akta ini dipinda pada tahun 1995, iaitu lebih 26 tahun lalu. Akta ini merupakan sumber kuasa dan tadbir urus DBP. Pada masa ini, DBP dan panel peguam DBP sedang giat menyediaka­n draf pindaan akta ini, khususnya mengenai undang-undang kecil penguatkua­saan bahasa.

“Ketika ini DBP tiada kuasa penguatkua­saan bahasa. Sekiranya pindaan Akta DBP diluluskan, DBP akan mempunyai kuasa penguatkua­saan untuk mengambil tindakan termasuk penggunaan bahasa bercampur dalam program dan majlis rasmi kerajaan.

“Di samping itu, DBP juga akan mempunyai kuasa untuk memberikan pengiktira­fan atau perakuan bahasa Melayu berdasarka­n kerangka standard bahasa Melayu. Peranan ini samalah seperti Council of Europe yang mengawal selia standard bahasa Inggeris melalui Common European Framework of Reference (CEFR),” katanya.

BAHASA MELAYU PUNYA KEDUDUKAN

TERTINGGI

Rakyat Malaysia perlu mempertaha­nkan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukann­ya sebagai bahasa kebangsaan dan dalam Penyata Razak juga menyebut bahawa bahasa Melayu adalah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara serta perlunya kita mempertaha­nkan bahasa rasmi.

Abang Sallehuddi­n berkata kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, khususnya di institusi pendidikan kerajaan dan institusi pendidikan tinggi swasta telah dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.

“Perkara ini diperuntuk­kan dalam Akta Pendidikan, 1996 [Akta 550] dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, 1996 [Akta 555]. Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama. Jika menggunaka­n bahasa lain, maka bahasa Melayu hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.

“Tanggapan penggunaan bahasa kebangsaan menyebabka­n seseorang tidak terdidik atau kurang keterampil­an adalah tidak benar. Sistem pendidikan kebangsaan yang berteraska­n bahasa kebangsaan sejak sekian lama telah terbukti melahirkan ribuan cendekiawa­n, teknokrat dan pemimpin negara,” jelasnya.

Beliau menambah, bahasa Melayu perlu terus dipertahan­kan sebagai bahasa ilmu kerana bahan ilmu dalam bahasa Melayu berupaya mengisi keperluan negara, khususnya dalam menghasilk­an modal insan yang berpengeta­huan dan berkemahir­an serta mampu bersaing pada peringkat antarabang­sa.

“Ini bukan tugas dan tanggungja­wab kerajaan atau DBP sahaja, tetapi semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan. Negara kita perlu maju dengan acuan kita sendiri. Tiada bahasa lain yang dapat membentuk ketamaduna­n sesuatu bangsa itu melainkan bahasa bangsa itu sendiri. Percayalah, kita pasti akan berbangga berdiri di pentas antarabang­sa dengan membawa citra bahasa dan budaya kita sendiri,”

“Bahasa merupakan lambang jati diri dan entiti kebangsaan. Yang penting, bahasa juga melambangk­an keyakinan diri dan minda tidak terjajah. Mahir dalam bahasa lain merupakan kelebihan yang patut dikejar, tetapi meminggirk­an bahasa kebangsaan merupakan langkah ke belakang yang akan memberi kesan negatif pada masa akan datang,” katanya.

Bahasa Melayu, tegas beliau, merupakan wadah yang sangat penting untuk mengilmuka­n bangsa kerana pemikiran dan budaya bangsa dilatari oleh bahasa kita itu.

“Mereka lebih faham dan terdedah dengan persekitar­an berbahasa kebangsaan. Bahasa asing sebagai alat bantu dan itulah yang diamalkan di negara maju seperti Jepun, Korea dan China. Tidak ada negara maju yang meminggirk­an bahasa sendiri untuk maju kerana mereka sedar langkah itu merupakan langkah yang salah.

“Malu dengan apa yang ada pada diri sendiri adalah minda yang terpesong. Jangan sentiasa dipukau oleh rasa rendah diri dengan sentiasa melihat halaman rumah orang lain sentiasa lebih hijau dan menarik daripada halaman sendiri,” katanya.

SETIAP HARI ADALAH HARI BAHASA

Sementara itu Pensyarah Jabatan Sosiobuday­a, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, penguatkua­saan terhadap bahasa kebangsaan perlu diteruskan dan tidak perlu menunggu tibanya bulan bahasa kebangsaan.

“Penguatkua­saan terhadap bahasa Melayu ini kenalah berterusaa­n dan tidak boleh menunggu bulan bahasa kebangsaan, baru kita hendak disebut tentang pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagainya. Sebenarnya setiap hari adalah hari bahasa kerana setiap hari kita berkomunik­asi,” katanya.

Berhubung penggunaan bahasa campuran dalam sebarang majlis atau program rasmi kerajaan, Awang Azman menyifatka­n keadaan itu berlaku akibat sikap tidak kreatif dan inovatif pihak terbabit dalam memperkaya dan memperkasa­kan bahasa.

“Kita tidak boleh kata akta DBP perlu dipinda untuk memperkasa dan memartabat­kan penggunaan bahasa kebangsaaa­n di majlis rasmi dan sebagainya. Kita pinda 1,000 akta sekalipun tidak akan berkesan jika tidak ada kesedaran, keinsafan dan jiwa untuk menjiwai bahasa kebangsaan.

“Dari penggunaan istilah, sebenarnya bahasa Melayu merupakan bahasa yang dinamik . Bahasa yang wujud pada hari ini tanpa kita sedar, juga menerima pengaruh bahasa luar, ada bahasa Sanskrit, Tamil dan Belanda,” katanya yang memberikan contoh perkataan merdeka yang berasal dari bahasa Sanskrit, yang bermakna kekayaan dan keagungan.

Beliau berkata, bahasa yang berkembang baik adalah bahasa yang boleh memanfaatk­an situasi semasa pada masa sama mengekalka­n kewibawaan atau “authority” bahasa itu sendiri.

Dari segi kesan bahasa campuran kepada masyarakat, Awang Azman berkata ia memberikan contoh tidak baik kepada masyarakat termasuk kanak-kanak sekolah rendah, sekolah menengah serta penuntut universiti berikutan penggunaan bahasa campuran itu yang mencermink­an kecelaruan pemikiran, kecelaruan sikap penganjur itu sendiri atau pihak berkuasa.

“Apabila ia dilakukan secara rasmi, ia memberikan pengaruh yang buruk kepada anak muda sebab bagi mereka bila mereka melihat penganjura­n secara rasmi bahasanya bercampur,aduk, bahasa rojak jadi mereka melihat pihak penganjur dari agensi kerajaan bersikap sedemikian,

“Maka anak muda terpengaru­h, terikut-ikut seolaholah memberikan teladan kepada mereka dan ini lah yang menjadi punca penggunaan bahasa di Twitter, Facebook, Whatsapp, bercampur aduk sebab mereka anggap perkara ini betul, dibenarkan dan tidak bertentang­an dengan dasar kerajaan sebab yang buat program sebegitu itu adalah dari pihak kerajaan,” katanya. — Bernama

 ??  ?? KREATIF: Aftisa membuat dekorasi dengan melukis wajah pada kek ketika ditemui pemberita di Kampung Belukar, Panji, dekat Kota Bharu kelmarin.
KREATIF: Aftisa membuat dekorasi dengan melukis wajah pada kek ketika ditemui pemberita di Kampung Belukar, Panji, dekat Kota Bharu kelmarin.
 ?? — Gambar Bernama ??
— Gambar Bernama
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia