Utusan Borneo (Sarawak)

Kek lukisan raih permintaan tinggi

-

KEK ibarat kanvas lukisan bagi seorang pengusaha kek dari Kampung Belukar, Panji, di Kota Bharu, Kelantan.

Kek yang dihasilkan Atfisa Ahmad Fahmy, 49, itu bukan sahaja enak rasanya, malah menjadi ‘halwa mata’ dengan lukisan yang kreatif dan cantik.

Menurut Atfisa, sejak Ogos tahun lepas, beliau tidak menang tangan memenuhi tempahan serta permintaan pelanggan yang mahu kek mereka dihiasi lakaran tertentu seperti potret, bunga, haiwan kesayangan dan lukisan abstrak.

“Saya belajar membuat kek marble jelita dalam sebuah kelas khas memasak Ogos tahun lepas. Selepas ibu bapa saya meninggal dunia pada tahun yang sama,tercetus idea untuk meluahkan perasaan pada kek.

“Kepandaian melukis dan mewarna ini diwarisi daripada arwah bapa, Ahmad Fahmy Hamid, yang memupuk minat ini sejak kecil, dan kini saya mampu menjadikan kek seperti kanvas lukisan,” katanya yang ditemui pemberita di rumahnya.

Menurut bekas pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta itu, pada mulanya beliau menghadapi cabaran apabila kek yang dihasilkan­nya sering tidak menjadi, namun beliau terus mencuba sehingga berjaya dan kini menerima tempahan lebih 30 biji sebulan.

Atfisa berkata kek seberat satu kilogram yang biasa dijual pada harga RM35 manakala kek yang mempunyai lukisan berharga RM60.

“Kek biasa dibakar selama satu jam sahaja, namun bagi menyesuaik­an kek dengan lukisan saya mengubah suai suhu sehingga dua jam untuk dimasak.

“Saya mengambil masa antara 10 minit hingga satu jam untuk menyiapkan lukisan ringkas sebagai dekorasi di atas kek, bergantung pada kerumitan lukisan,” katanya yang mendapat sokongan daripada suami, Roslan Ishak, 60.

Ibu kepada seorang anak itu turut mengambil inisiatif menganjurk­an kelas melukis dan mewarna kek secara dalam talian selepas mendapat permintaan daripada pembuat kek lain.

“Pada masa ini ramai yang pandai membuat kek, tetapi mereka tidak tahu kaedah dan teknik melukis di atas kek, jadi saya berkongsi ilmu melalui Facebook ‘PJJ Marble Vintage By KekTiss’.

“Saya masih belajar dan terus belajar untuk menghasilk­an kek lebih sedap dan eksklusif. Setakat hari ini saya sudah menghadiri tiga kelas membuat kek dan masih belum jemu menambah ilmu dalam bidang ini,” katanya. — Bernama

 ??  ??
 ?? — Gambar Bernama ?? MENARIK PERHATIAN: Sebahagian kek lukisan berbentuk potret, pemandanga­n dan wajah haiwan kesayangan yang dihasilkan Aftisa ketika ditemui pemberita di Kampung Belukar, Panji, dekat Kota Bharu kelmarin.
— Gambar Bernama MENARIK PERHATIAN: Sebahagian kek lukisan berbentuk potret, pemandanga­n dan wajah haiwan kesayangan yang dihasilkan Aftisa ketika ditemui pemberita di Kampung Belukar, Panji, dekat Kota Bharu kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia