Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada keistimewa­an kepada pengusaha kedai makan dibenar ‘dine-in’: Sempurai

-

SIBU: Tiada keistimewa­an diberikan kepada pengusaha kedai makan selepas Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) membenarka­n makan di dalam kedai atau ‘dine-in’.

Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai berkata, pihaknya terus menjalanka­n pemantauan bagi mengesan mana-mana kedai makan dan restoran yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada boleh dikenakan kepada pengusaha didapati ingkar SOP dikeluarka­n kerajaan.

“Tiada keistimewa­an meskipun kedai makan atau restoran itu popular kerana peraturan perlu dipatuhi oleh para pengusaha dan pelanggan.

“Pengusaha kedai makan atau restoran harus patuh tutup jam 10 malam, selain amalkan penjarakan fizikal, ambil suhu, selain tulis nama dan nombor telefon,” katanya ketika dihubungi semalam.

Makan di dalam kedai antara yang dibenarkan dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sarawak berkuat kuasa 14 Julai lalu.

Bagaimanap­un, had bilangan pelanggan tertakluk kepada SOP ditetapkan Kementeria­n Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Menurut Sempurai, walaupun berada dalam Fasa Dua PPN, namun bukan tiket untuk mengabaika­n SOP.

“Peralihan Fasa Satu ke Fasa Dua PPN hanya permulaan untuk fasa-fasa seterusnya sehingga kita benarbenar bebas daripada wabak COVID-19.

“Dalam konteks ini, kita jangan leka dan mudah selesa dengan peralihan fasa kedua kerana pengabaian SOP menyebabka­n kes harian boleh meningkat semula di negeri ini,” jelasnya.

Justeru katanya, rakyat mesti bersama mematuhi SOP bagi memastikan kes harian COVID-19 terus menurun ke tahap paling rendah supaya semua dapat melangkah ke Fasa Tiga PPN.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia