Utusan Borneo (Sarawak)

1,508 pekerja kedai makan di Miri divaksin

-

MIRI: Seramai 1,508 pekerja dari 240 kedai makan di sini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.

Datuk Bandar Adam Yii berkata, penerimaan suntikan di kalangan pekerja dan pengusaha antara syarat membenarka­n pelanggan ’dine in’ atau makan di kedai yang bermula semalam.

“Untuk pekerja kedai makan yang masih belum menerima vaksin, mereka boleh menghubung­i Puan Juraila di talian 0197216684 di Majlis Bandaraya Miri untuk pendaftara­n keutamaan vaksinasi,” jelas beliau dalam kenyataan medianya.

Yii menambah, bagi memastikan kedai makan tidak berpotensi menjadi kluster jangkitan, pengusaha harus memastikan premis dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan yang ditetapkan.

Ia termasuk mengimbas kod QR MySejahter­a, pemeriksaa­n suhu badan, pemantauan penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan memastikan jumlah kapasiti 50 peratus orang di premis pada setiap masa.

Pengusaha yang gagal mematuhi garis panduan akan berdepan denda RM1,500.

Untuk kesalahan berulang, mereka bakal berdepan arahan penutupan premis selama 14 hari dan pembatalan lesen.

Beliau menambah, pengusaha yang tidak mematuhi SOP akan berdepan hukuman lebih berat sekiranya premis mewujudkan kluster jangkitan baharu.

“Dan untuk kesalahan tidak mematuhi SOP sehingga mewujudkan kluster jangkitan, premis harus ditutup selama 14 hari, melakukan kerja-kerja pembersiha­n mendalam dan semula kos untuk ujian calitan kepada pekerja serta kerja pembersiha­n akan ditanggung oleh pengusaha,” tegas Yii.

Dalam pada itu, Miri khasnya dan Sarawak amnya telah berjaya melandaika­n lekuk penularan COVID dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Menurut Yii, ia hasil pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 28 Mei lalu, peningkata­n jumlah penduduk yang menerima vaksin serta kerjasama penduduk secara keseluruha­nnya.

“Kerjasama semua membantu memastikan situasi dalam keadaan terkawal. Dengan pembukaan lebih banyak sektor perniagaan bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), orang awam diingatkan untuk lebih peka terutamany­a terhadap penularan varian jangkitan baharu seperti varian Delta,” ujarnya.

Kerjasama semua juga diperlukan untuk mengelak peningkata­n kes ketika pembukaan lebih banyak sektor ekonomi pada masa sekarang, tambahnya.

 ??  ?? TURUN PADANG: Yii yang ditemani Datuk Sebastian Ting ketika melakukan kunjungan di sebuah kedai makan di pusat komersial Pelita.
TURUN PADANG: Yii yang ditemani Datuk Sebastian Ting ketika melakukan kunjungan di sebuah kedai makan di pusat komersial Pelita.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia