Utusan Borneo (Sarawak)

Tabung Darah HUS seru orang ramai tampil menderma darah

-

KUCHING: Pusat Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) menyeru orang ramai untuk tampil menderma darah di HUS bagi meningkatk­an bekalan darah yang mengalami penurunan dalam minggu ini.

Menurut kenyataan medianya kelmarin, kadaan ini disebabkan oleh kadar kehadiran penderma yang kurang di Pusat Tabung Darah HUS pada hari bekerja.

Selain itu katanya, timbul kekangan untuk mengadakan aktiviti derma darah di lokasi awam pada hujung minggu serta penundaan dan pembatalan aktiviti derma darah oleh para penganjur.

Tambahnya, aktiviti derma darah adalah termasuk dalam perkhidmat­an perlu di bawah Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) dan orang ramai yang berada di luar kawasan Kuching serta berhampira­n masih boleh hadir menderma darah.

“Sekiranya diitahan semasa Sekatan Jalan Raya (SJR), anda hanya perlu menunjukka­n kad atau buku derma darah kepada anggota keselamata­n bertugas dan menyatakan hasrat untuk menderma darah.

“Aktiviti derma darah telah diberikan kebenaran oleh Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan pihak berkuasa yang bertanggun­gjawab dalam soal keselamata­n telah diberi maklum berhubung perkara ini,” ujar kenyataan tersebut.

Penderma yang ingin hadir katanya, tidak perlu khuatir untuk mendapatka­n permit sekiranya berada di luar kawasan Kuching.

“Bagi penderma baru yang ingin menderma tetapi tidak mempunyai kad atau buku derma darah, mereka boleh mengisi borang pendaftara­n derma darah secara dalam talian di pautan https://regdonor.bbis.moh.gov.my/ dan mencetak borang berkenaan serta dibawa bersama pada hari mereka berhasrat untuk menderma darah,” katanya.

Jelas kenyataan itu juga, seseorang yang telah menerima suntikan vaksin masih boleh menderma darah selepas tujuh hari dari tarikh penerimaan vaksin tanpa kesan sampingan ringan.

“Sekiranya mengalami kesan sampingan ringan, mereka hendaklah menunggu selepas tujuh hari setelah sembuh sepenuhnya.

“Tiada halangan kepada penderma yang belum mendapat vaksin untuk menderma darah,” ujarnya.

Malah bekas pesakit COVID-19 juga boleh menderma darah dalam tempoh 14 hari dari tarikh sembuh sepenuhnya daripada wabak berkenaan.

Pada hujung minggu ini, 17-18 Julai 2021 (Sabtu dan Ahad), Pusat Tabung Darah HUS akan beroperasi mulai jam 9 pagi hingga 3 petang dan kehadiran orang ramai amat dialu-alukan untuk memastikan bekalan darah mencukupi kepada pesakit yang memerlukan.

 ??  ?? MOHON DERMA: Hospital Umum Sarawak kini memerlukan bekalan darah jenis B. Darah jenis A, O dan AB juga mulai menurun.
MOHON DERMA: Hospital Umum Sarawak kini memerlukan bekalan darah jenis B. Darah jenis A, O dan AB juga mulai menurun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia