Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: Melaka sasar suntik 14,600 individu sehari menerusi 72 PPV

-

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka menyasarka­n mampu memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada 14,600 individu sehari berbanding 7,800 individu bulan lepas menerusi 72 pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi sudah memberikan persetujua­n tambahan sebanyak 368,000 dos vaksin COVID-19 kepada Melaka, bulan ini.

Beliau berkata, bagi mengekang peningkata­n kluster kilang, Program Imunisasi Industri COVID19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) akan membuka dua lagi PPV Industri di Kawasan Perindustr­ian Cheng dan Krubong serta Kawasan Perindustr­ian Alor Gajah, awal bulan depan.

“Kita (Kerajaan Negeri Melaka) menyasarka­n memvaksin kira-kira 160,000 hingga 180,000 pekerja industri pembuatan di Melaka, selain memohon pertimbang­an agar program PIKAS diperluask­an ke sektor lain seperti pembinaan, hotel dan perladanga­n bagi mempercepa­tkan proses imunisasi kepada pekerja industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Amanat Penjawat Awam Secara Dalam Talian yang disiarkan secara langsung melalui Facebook di sini semalam.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanak­an Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dewan Jawatankua­sa Pembanguna­n dan Penyelaras­an Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, menggunaka­n bas dengan sasaran 250 orang penerima vaksin sehari.

Menurutnya, beliau yakin Melaka mampu mencapai matlamat 80 peratus imuniti kelompok dalam tempoh beberapa bulan akan datang menerusi strategi yang sedang dilaksanak­an ketika ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia