Utusan Borneo (Sarawak)

OPS PERMAI: 14 NELAYAN VIETNAM TANGKAP IKAN SECARA HARAM DITAHAN

-

MIRI: Seramai 14 kru termasuk tekong warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak di dalam sebuah bot selepas disyaki menjalanka­n aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara pada jarak lebih kurang 36 batu nautika dari barat Tanjung Lobang di sini sekitar jam 2.45 petang, Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan tersebut adalah hasil aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti penceroboh­an nelayan asing Vietnam di beberapa lokasi di perairan Sarawak.

“Semasa pemantauan dan rondaan Operasi Permai sekitar jam 1.45 petang kelmarin, Kapal Maritim (KM) Kota Kinabalu telah mengesan sebuah bot mencurigak­an pada jarak 2.4 batu nautika di lokasi yang dilaporkan itu.

“Berdasarka­n struktur fizikal, bot tersebut disyaki bot nelayan Vietnam dan KM Kota Kinabalu terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir satu jam untuk memintas dan berjaya menahannya setelah dihimpit rapat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, pemeriksaa­n dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Manakala 14 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 54 tahun juga gagal mengemukak­an sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa. “Bot dan kesemua kru diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Pulau Melayu, Miri untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurut Zin Azman, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 3,000 liter serta hasil tangkapan sekitar 800 kilogram ikan campur turut dirampas.

“Keseluruha­n rampasan termasuk bot dianggarka­n bernilai RM1 juta.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalanka­n aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukak­an sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Tambahnya, kesemua kru menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementeria­n Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setibanya di jeti.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigak­an di laut, orang ramai boleh menghubung­i Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak menerusi talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

 ??  ?? DITAHAN: Nelayan warga Vietnam ditangkap di dalam bot tersebut.
DITAHAN: Nelayan warga Vietnam ditangkap di dalam bot tersebut.
 ??  ?? ROMPAK HASIL: Bot nelayan Vietnam
yang berjaya ditahan.
ROMPAK HASIL: Bot nelayan Vietnam yang berjaya ditahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia