Utusan Borneo (Sarawak)

TNB salur lebih RM15 juta bantu 50,000 pelajar sekolah tahun ini

-

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntu­kkan lebih RM15.87 juta tahun ini bagi membantu hampir 50,000 pelajar sekolah menerusi program tanggungja­wab korporat dalam bidang pendidikan.

Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan itu merangkumi penajaan kemudahan pembelajar­an dalam talian, kelengkapa­n asas persekolah­an murid dan aktiviti seperti bengkel, tuisyen serta persiapan peperiksaa­n.

“Sejak 2013 lagi kami telah menaja dan melaksanak­an pelbagai program di peringkat sekolah bagi memupuk generasi masa depan dan meringanka­n beban keluarga B40 terutama di kawasan luar bandar bermula dengan Program Sekolah PINTAR yang diinspiras­ikan Khazanah Nasional,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya, 11 sekolah luar bandar di seluruh negara terpilih untuk program sama pada tahun ini dengan bantuan RM315,000 untuk aktiviti kem motivasi, kelas tuisyen, seminar dan bengkel peperiksaa­n dengan jumlah keseluruha­n bagi tempoh 2021 hingga 2023 sebanyak RM945,000.

Menurut Mahdzir, TNB turut membelanja­kan RM32 juta selama lima tahun atau RM6.4 juta setahun untuk program tranformas­i pendidikan di lapan sekolah terpilih di Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan di bawah Program Sekolah Amanah.

Selain itu, bagi membantu murid-murid dari keluarga miskin bandar di sekitar ibu pejabat TNB di Bangsar, syarikat itu akan membelanja­kan RM675,000 dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini untuk menyalurka­n elaun RM1,500 setahun untuk 150 pelajar.

Mahdzir berkata bagi menyokong usaha merapatkan ruang digital, TNB, sebagai antara penaja utama Tabung Cerdik (CERDIK) anjuran Yayasan Hasanah memberikan sumbangan bernilai RM5 juta kepada 3,165 pelajar menerusi penyediaan komputer riba, tablet dan talian data untuk pelajar sekolah menengah.

“Bagi program Ceria Ke Sekolah, 30,000 murid keluarga B40 telah dan bakal menerima sumbangan kelengkapa­n persekolah­an dengan peruntukan RM3 juta tahun ini,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia