Utusan Borneo (Sarawak)

Yayasan Waqaf Malaysia salur peruntukan RM34,200 di Melaka

-

MELAKA: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menyalurka­n peruntukan RM34,200 menerusi Program Dana Perlu dan Dana Pelajar YWM bagi membantu murid di tiga sekolah kebangsaan sekitar sini di samping menyediaka­n pek sumbangan makanan kepada orang ramai semalam.

YWM dalam satu kenyataan berkata, RM21,700 diperuntuk­kan untuk menyumbang 30 tablet kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Rambai, SK Bukit Rambai serta SK Kampung Gelam, di samping satu unit buat sebuah keluarga yang memerlukan, manakala RM12,500 lagi diperuntuk­kan bagi tujuan penyediaan pek sumbangan makanan keperluan untuk 250 penerima.

Menurutnya, tablet yang diserahkan kepada sekolah berkenaan akan dipinjamka­n kepada murid yang mengalami kesukaran menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajar­an di Rumah (PdPR), yang dikenal pasti oleh pihak sekolah.

“Kesemua penerima sumbangan merupakan golongan terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19 yang terdiri daripada pekerja hotel, pengayuh beca, pekerja taska daripada 22 taska di Melaka, petugas sokongan institusi pendidikan dan murid sekolah rendah dari kalangan keluarga B40,” menurut kenyataan itu.

Sumbangan itu diserahkan kepada Menteri di Jabatan

Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dan majlis penyerahan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YWM Prof Madya Dr Amir Shaharuddi­n serta Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Muhammad Ikram Ibrahim.

Sementara itu, YWM berkata orang ramai yang ingin menjadi sebahagian daripada penyumbang Program Dana Pelajar boleh melayari www.ywm.gov. my/wakaf-online dan memilih Sijil Wakaf Tunai Pendidikan atau sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB ISLAMIC BANK BERHAD (8602218186) untuk Program Dana Perlu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia