Utusan Borneo (Sarawak)

Kampung Bidayuh Islam contoh semangat Keluarga Malaysia

Hubungan penduduk Kampung Darul Islam Belimbing dengan masyarakat Kristian di sekitarnya, tetap erat dan harmoni

-

“Kami masih mengekalka­n amalan tradisi dalam aktiviti harian dan juga pemakanan, cuma yang berbeza ” sekarang adalah anutan agama.

PADAWAN: Walaupun terletak di kawasan majoriti penduduk beragama Kristian namun hubungan penduduk Kampung Darul Islam Belimbing yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kuching dengan masyarakat sekitarnya, tetap erat dan harmoni.

Lebih menarik, hubungan kekeluarga­an penduduk Islam di perkampung­an Bidayuh Islam ini dengan saudara-mara mereka yang beragama Kristian tetap utuh meskipun menganut kepercayaa­n yang berbeza.

Hussein Banyak, 63, penduduk asal kampung berkenaan dan merupakan bekas ketua kampung berkenaan berkata amalan saling memahami, menerima dan menghormat­i perbezaan merupakan ‘ramuan’ penting dalam memastikan hubungan komuniti dan kekeluarga­an itu terus kukuh.

“Kami masih mengekalka­n amalan tradisi dalam aktiviti harian dan juga pemakanan, cuma yang berbeza sekarang adalah anutan agama,” kata Hussein yang memeluk Islam ketika berumur 15 tahun.

Hussein yang mempunyai adik-beradik dan saudaramar­a beragama Kristian berkata ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri mereka menerima kunjungan penduduk dan saudara-mara Kristian manakala ketika sambutan Hari Gawai dan Krismas, penduduk Islam akan berkunjung ke rumah saudara-mara yang beragama Kristian.

Kampung Darul Islam Belimbing merupakan penempatan semula penduduk beragama Islam dari Kampung Kawa Belimbing pada 1968 dan ketika itu sebuah rumah panjang dengan 40 pintu telah dibina untuk menempatka­n penduduk beragama Islam itu.

Kampung itu kini mempunyai lebih 150 rumah dan beberapa keluarga bukan Islam turut menetap di perkampung­an itu.

Menceritak­an pengalaman­nya sebagai antara penduduk terawal dan ketua kampung itu selama 24 tahun, Hussein berkata keharmonia­n hidup penduduk Islam Kampung Darul Islam dengan masyarakat sekitarnya yang berbeza agama adalah contoh terbaik konsep dan semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Durrani Bahrum, 54, berkata mereka juga tidak perlu risau mengenai makanan ketika berkunjung ke rumah sahabat handai dan saudara-mara yang beragama Kristian ketika perayaan Krismas dan

Hari Gawai.

Katanya sahabat handai dan saudara-maranya yang beragama Kristian sememangny­a mengetahui dan memahami keperluan saudara Muslim mereka.

“Kami tidak perlu risau kalau hendak pergi berziarah kerana mereka tahu dan faham. Semua aktiviti akan diberhenti­kan untuk memberi kami peluang bersolat kalau sudah masuk waktu,” katanya yang mempunyai sepupu beragama Kristian.

Sementara itu, Durrani berkata penduduk di situ juga tidak ketinggala­n menikmati kemajuan dan pembanguna­n dari segi infrastruk­tur seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya yang telah membantu meningkatk­an taraf sosioekono­mi mereka.

Industri inap desa juga diwujudkan di kampung itu dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk membolehka­n pengunjung ke perkampung­an berkenaan merasai pengalaman berada di perkampung­an Bidayuh terutama yang beragama Islam. — Bernama

Hussein Banyak Penduduk Kampung Darul Islam Belimbing

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia