Utusan Borneo (Sarawak)

Agong berkenan berangkat ke majlis perjumpaan semula rakan kadet Royal Military Academy Sandhurst

-

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis perjumpaan semula bersama rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst tahun 1978 dan 1979, di akademi tersebut kelmarin.

Kenyataan Istana Negara di Facebook memaklumka­n keberangka­tan Sultan Abdullah disambut Komandan Royal Military Academy Sandhurst, Major Jeneral Duncan Capps dan isteri Robyn Capps serta Penasihat Pertahanan Malaysia di United Kingdom Brigadier Jeneral Safwan Ismail.

Pada majlis perjumpaan semula yang berlangsun­g di Indian Army Memorial Room itu, Sultan Abdullah berkenan menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbau kenangan manis bersama rakan kadet Intake SMC 19 yang telah menjalani latihan bersama Seri Paduka.

Turut hadir, jurulatih Seri Paduka Colin John yang menzahirka­n perasaan bangga dan terharu kerana dapat bertemu semula Sultan Abdullah yang juga merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

“Keberangka­tan Seri Paduka ke majlis ini turut mencermink­an keperibadi­an tinggi Seri Paduka dan keakraban serta keutuhan semangat setia kawan yang telah terjalin sejak lebih 40 tahun lepas.

“Untuk kesinambun­gan tradisi, Seri Paduka telah menzahirka­n hasrat agar dua anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah untuk turut menjalani latihan pegawai kadet di Royal Military Academy Sandhurst pada tahun hadapan,” menurut kenyataan itu.

Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan memberi kata-kata perangsang kepada dua Pegawai Kadet Malaysia yang sedang menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst, menurut kenyataan itu.

Pegawai Kadet Muhammad Yaasin Kamaruddin dan Pegawai Kadet Muhammad Haikal Mohd Tukiman dijadualka­n tamat latihan di akademi itu pada Disember 2021 dan April 2022 kelak.

Royal Military Academy Sandhurst di London ini merupakan sebuah institusi latihan ketenteraa­n terkemuka dunia yang amat terkenal dalam pembanguna­n kepimpinan dan latihan asas pegawai tentera darat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia