Utusan Borneo (Sarawak)

FAMA catat hasil jualan RM122 juta menerusi rangkaian outlet bagi tempoh kurang dua bulan

-

JOHOR BAHRU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n (FAMA) mencatatka­n hasil jualan sebanyak RM122 juta menerusi rangkaian outlet seliaan lembaga itu dari 1 Sept hingga 18 Okt lalu.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Bidin Yang Razali berkata 368 rangkaian outlet yang mula dibuka di seluruh negara memberi manfaat kepada lebih 12,131 usahawan dan 2.26 juta pelanggan untuk mendapatka­n produk agromakana­n yang ditawarkan.

Katanya pembukaan rangkaian outlet dengan mengadapta­si prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamata­n Negara (MKN) itu menunjukka­n satu indikator positif berikutan jumlah dan hasil keuntungan yang dicapai melebihi daripada sasaran awal ditetapkan FAMA.

Pembukaan semula rangkaian outlet FAMA merangkumi 35 pasar tani kekal, 266 pasar tani, 19 medan gerai buah-buahan segar, lima Agrobazaaa­r R&R serta lima pasar tamu.

“Pada mulanya, kita menyasarka­n untuk membuka sebanyak 241 outlet namun, sehingga 18 Oktober, kita telah membuka 368 outlet.

“Dari segi jumlah usahawan, kita menyasarka­n sebanyak 6,000 usahawan dan itu (sasaran) sehingga Disember tetapi setakat Isnin lepas, lebih 12,000 usahawan telah menjalanka­n perniagaan.

“Dari segi nilai jualan pula, kita menyasarka­n sebanyak RM200 juta sehingga 31 Disember ini, namun sehingga kini nilai jualan yang telah dijana oleh usahawan setakat Isnin lepas mencatatka­n nilai jualan sebanyak RM122 juta.

“Oleh itu, menjelang akhir tahun nanti kita boleh mencapai lebih daripada yang disasarkan,” katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Terdahulu, satu sesi sidang video antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar telah diadakan di FAMA Negeri Johor.

Ronald turut menyampaik­an sumbangan 2.5 tan metrik produk agromakana­n menerusi MAFI Prihatin kepada enam buah rumah kebajikan masyarakat di sekitar Johor Bahru yang memberi manfaat kepada 350 penerima.

Sumbangan berkenaan turut disampaika­n kepada 200 rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura.

Menerusi MAFI Prihatin melalui FAMA, bagi tempoh Jun hingga 18 Okt, sebanyak 90 tan metrik makanan telah disalurkan melibatkan nilai RM330,000 telah diberikan kepada 40,000 penerima di 209 lokasi di seluruh negara.

Di Johor pula, pelaksanaa­n MAFI Prihatin melalui FAMA telah memberi manfaat kepada 3,480 individu di 14 lokasi di seluruh negeri dengan nilai bantuan berjumlah RM35,000. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia