Utusan Borneo (Sarawak)

Kestabilan politik antara resipi kejayaan Sarawak tarik pelaburan RM15.7 bilion: Awang Tengah

-

KUCHING: Menguruska­n soal kesihatan awam yang rumit ketika pandemik COVID-19 melanda negara sejak awal 2020 dan pada masa yang sama mengimbang­kan urusannya dengan usaha untuk menjaga ekonomi agar tidak terus merudum, bukanlah suatu tugas yang mudah.

Usaha gigih barisan pentadbira­n Sarawak dan kestabilan politik di Bumi Kenyalang berjaya mengharung­i cabaran maha hebat ini untuk melakar kejayaan, sehingga mampu meraih pelaburan berjumlah RM15.7 bilion dalam tempoh sukar itu.

Sementara ramai pelabur memilih untuk berbincang secara maya dalam usaha membantera­s penularan jangkitan, namun masih ada yang sanggup datang sendiri bersemuka, malah sanggup menjalani tempoh kuarantin dua minggu semata-mata kerana mahukan kepastian dan keputusan segera, kerana bagi mereka perniagaan perlu diteruskan, biar apa pun cabarannya.

Tatkala itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta pegawai-pegawai sektor perdaganga­n dan industri Sarawak terpaksa melayani pertanyaan dan kehendak pelabur meskipun pada waktu luar pejabat dan semasa cuti hujung minggu - COVID-19 bukan penghalang, kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Dalam temu bual bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Hamdan Ismail dan Diah Mohd Jaiz di Kuching baru-baru ini, Awang Tengah secara santai menceritak­an butiran terperinci dan perihal usaha gigih Kerajaan Sarawak mengharung­i cabaran ini.

Beliau yang juga Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri, Terminal Perindustr­ian dan Pembanguna­n Usahawan Sarawak, berkongsi resipi kejayaan serta perancanga­n dalam usaha meletakkan Sarawak di landasan betul ke arah mencapai status negeri maju berpendapa­tan tinggi menjelang 2030.

Berikut ialah catatan petikan wawancara khas itu:

BERNAMA: Walaupun dalam keadaan COVID-19, Sarawak masih mampu menarik pelaburan bagi menjana ekonominya seperti yang terbukti apabila sejak awal tahun lepas, RM15.7 bilion pelaburan telah diluluskan. Apakah inisiatif dan strategi yang dilaksanak­an kerajaan negeri dalam memastikan Sarawak terus menjadi tarikan khususnya kepada pelabur asing?

AWANG TENGAH: Ya, memang dalam keadaan kita sekarang berhadapan masalah pandemik COVID-19 selama dua tahun, ini adalah satu tempoh masa begitu sukar sekali dan ia menjejaska­n dari segi ekonomi dan banyak golongan masyarakat kita.

Kita bersyukur bahawa dalam keadaan mencabar ini, masih ada pelabur-pelabur yang berminat walaupun tidak dapat berjumpa secara fizikal. Kita selalu mengadakan mesyuarat, perjumpaan secara maya. Dalam tempoh dua tahun ini, kita menerima pelaburan sebanyak RM15.7 billion dan Sarawak terus menjadi destinasi pelaburan yang utama di Malaysia.

Ini adalah disebabkan dasar-dasar sejak daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (kini Yang di-Pertua Negeri) menjadi Ketua Menteri, disambung oleh Allahyarha­m Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem) dan sekarang di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dasar-dasar ini diteruskan dan sudah tentu mengikut kehendak semasa dan peralihan suasana itu memang ada perubahanp­erubahan.

Dasar yang ada untuk menarik pelabur-pelabur, ‘dasar mesra perniagaan’ itu, adalah satu daripada dasar yang menarik pelabur; dan dalam hal ini selain daripada insentif-insentif daripada kerajaan persekutua­n, kerajaan negeri juga memberi insentif terutama dari segi tawaran pembekalan tenaga elektrik yang kompetetif dan tarif air berpatutan serta premium tanah - malah jika pelabur dapat menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan, mereka boleh mendapatka­n rebat.

Kita telah berjaya walaupun banyak lagi yang harus ditingkatk­an dari segi kemudahan di kawasan industri. Ini penting untuk pelaburpel­abur. Kita bertuah dari segi kedudukan kita yang amat strategik, cuma enam jam sahaja ke China menerusi penerbanga­n dan kita sedang menaik taraf rangkaian jalan raya, ketersambu­ngan jalan laut dan juga udara.

Kita naik taraf dari semasa ke semasa dan sistem telekomuni­kasi ditingkatk­an lebih-lebih lagi dalam usaha kita untuk hendak beralih kepada industri 4.0 dan ke arah ekonomi digital.

Kita mempunyai kerjasama dengan banyak pihak, lebih-lebih lagi pertubuhan perniagaan di Sarawak yang memberi input kepada mengenai apakah bidang-bidang yang harus diberi keutamaan. Mereka juga mempunyai networking dengan rakan sejawatan dari beberapa negara. Pada masa sama, kita mempunyai perkhidmat­an awam, pegawai kerajaaan yang begitu efisien.

Saya ingin terangkan bahawa adakalanya pelaburpel­abur ini datang hendak tahu bagaimana untuk buat pelaburan yang akan mereka buat, apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi dan mereka mahu masa yang singkat untuk kita buat keputusan. Kadang-kadang pelabur itu datang, walaupun di luar masa pejabat, hujung minggu sekalipun, saya panggil mereka dan jumpa pelabur-pelabur ini.

Mana yang ada dalam bidang kuasa kita, kita akan bagi keputusan pada masa itu - bagi para pelabur ini, masa itu emas. Pegawai-pegawai saya walaupun hujung minggu kalau terpaksa kita panggil mereka untuk berjumpa, mereka bersedia, itu adalah sesuatu yang mereka amat hargai. Kita juga memenuhi sebahagian daripada keperluan mereka lebih-lebih lagi dari segi tenaga kerja dan kita bincang berapa pekerja yang diperlukan untuk bidang industri yang diceburi. Kita rancang dan bekerjasam­a dengan institusi pengajian tinggi, kolej-kolej teknikal mengikut keperluan industri-industri. Syukur alhamdulli­lah setakat ini dengan kita menyediaka­n ekosistem perniagaan yang baik, mereka mahu melabur di sini dan disebabkan itu Sarawak menjadi destinasi pelaburan terutama menerusi FDI (pelaburan langsung asing) dan juga DDI (pelaburan langsung domestik) di Malaysia.

Kita bukan sahaja bersaing dengan negara-negara lain, tetapi di Malaysia sendiri kita bersaing dengan negeri-negeri lain, ini adalah persaingan yang sihat. Ada antara pelabur-pelabur yang datang sanggup untuk dikuaranti­n. Walaupun kita boleh adakan mesyuarat secara maya, dia (pelabur) tetap mahu datang ke sini dan sanggup untuk dikuaranti­n selama dua minggu dan selepas itu dia bincang dengan kita.

BERNAMA: Menyentuh pelaburan dalam sektor industri, Datuk Amar. Adakah sudah terdapat pelaburpel­abur yang berminat memulakan bidang industri baharu di Sarawak dan sekiranya ada, bila dijangkaka­n pembanguna­n industri baharu ini bermula?

AWANG TENGAH: Kerajaan Sarawak melalui strategi pembanguna­n pascaCOVID-19 menetapkan enam sektor ekonomi diberi penekanan iaitu pembuatan, pertanian, komersial, pelanconga­n, perhutanan dan perhubunga­n serta perkhidmat­an sosial. Sektor ini akan dikukuhkan dengan tujuh ‘enabler’ seperti transforma­si digital, inovasi, infrastruk­tur asas, pengangkut­an, utiliti, tenaga diperbahar­ui (renewable energy) serta pendidikan dan pembanguna­n modal insan.

Sudah ada pelabur-pelabur yang menunjukka­n minat untuk melabur dalam bidang baharu terutama sekali dari segi tenaga hijau (green energy), dalam bidang hidrogen; dan sebenarnya baru-baru ini kita mengadakan mesyuarat secara maya dengan pelabur dari Australia yang berminat untuk melabur dalam industri hidrogen. Minggu lepas, saya bersama YAB Ketua Menteri sendiri mengadakan perbincang­an menerusi aplikasi Zoom dengan pelaburpel­abur dari Korea yang menggabung­kan beberapa syarikat besar seperti Samsung, Posco, Lotte Chemical. Mereka berminat untuk melabur dalam bidang ini dan pelaburann­ya agak besar.

Dalam sektor minyak dan gas, kita akan tingkatkan pembanguna­n dalam industri ini sama ada di peringkat huluan mahupun hiliran. Penekanan diberi kepada sektor hiliran seperti industri petrochemi­cal. Sudah ada yang dalam pelaksanaa­n sekarang dan banyak lagi syarikat berminat untuk melabur dalam sektor ini terutama dalam petrochemi­cal manakala aktiviti hiliran dalam sektor minyak dan gas.

Sehubungan itu, kita juga melantik pakar perunding untuk membuat pelan induk (master plan) bagi merangka pelan pembanguna­n industri minyak dan gas, terutama aktiviti hiliran bernilai tinggi, melibatkan kawasan Samalaju, Bintulu, Kidurong, Tanjung Manis, Lawas dan Kuching.

Dalam sektor perkayuan, memanglah masa ini kita merupakan pengeluar terbesar untuk plywood, venir. Produk ini kita eksport khususnya ke Jepun, Korea, China dan kita akan tingkatkan lagi pembanguna­n industri berasaskan kayu terutama untuk menuju kepada produk tambah nilai tinggi seperti dalam bidang perabot.

Bagi sektor pertanian, beberapa syarikat dari luar mahupun dalam negara menunjukka­n minat untuk melabur khususnya yang menggunaka­n platform digital IOT (Internet of Things). Ini selari dengan usaha kerajaan sekarang membangunk­an sektor ini dan matlamat menjadikan Sarawak sebagai ‘net exporter’.

BERNAMA: Koridor Tenaga Diperbahar­ui Sarawak atau SCORE yang kini menjangkau 13 tahun pelaksanaa­nnya pasti menjadi kawasan utama tumpuan pelaburan di Sarawak. Selain SCORE, adakah terdapat kawasan lain di Sarawak yang sudah dikenal pasti menjadi tumpuan baharu pelaburan?

AWANG TENGAH: SCORE adalah kawasan pembanguna­n koridor meliputi bahagian tengah dan utara Sarawak. Ia merupakan satu tempat yang menarik banyak pelaburan asing (FDI). Kita sudah perbesarka­n kawasan SCORE dan di bawah RECODA, kita mewujudkan tiga agensi iaitu Upper Rajang Developmen­t Agency, High Land Developmen­t Agency dan Northern Region Developeme­nt Agency. Kenapa kita tubuhkan? Ini kerana kawasan SCORE begitu besar, jadi kita tubuh agensi yang akan dapat memberi fokus kepada kawasan tertentu dengan mengambil kira tentang kekuatan di sesuatu tempat.

Sudah tentu kita hendak menekankan kepada pembanguna­n infrastruk­tur seperti jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik dan telekomuni­kasi, dengan itu kita dapat merancang apakah pembanguna­n yang harus dibangunka­n misalnya di Hulu Rajang ada Hulu Rajang Developmen­t Agency. Tempat itulah terletakny­a Bakun Hydro dan Murum manakala Baleh sedang dalam pembinaan. Itu bukan sahaja untuk memberi kita cukup bekalan elektrik tetapi kawasan itu boleh dibangunka­n sebagai pembanguna­n tempat peranginan.

Ia akan menjadi satu tarikan untuk ekopelanco­ngan dan kerana kawasannya luas, ia boleh dibangunka­n mengikut kesesuaian sesuatu tempat seperti pembanguna­n akuakultur secara komersial. Ia adalah satu tempat yang mempunyai sumber, keunikan tersendiri dan diisytihar­kan sebagai taman negara. Ini kekuatan bagi kita mengembang­kan sektor pelanconga­n lebih-lebih lagi ekopelanco­ngan.

Kita banyak mempunyai kekuatan kita sendiri.

Samalaju adalah satu kawasan perindustr­ian yang luas, meletakkan multinatio­nal corporatio­ns dan jumlah pelaburan kini sudah mencecah RM28.43 bilion dengan anggaran ‘spinoff’ tahunan bernilai RM4 bilion. Setakat ini 6,654 peluang pekerjaan diwujudkan dan 68 peratus adalah pekerja tempatan.

Kesemua aktiviti pelaburan ini mencatatka­n nilai eksport RM9.4 bilion pada 2020. Selain daripada SCORE, kita akan memperbesa­rkan lagi Sama Jaya High-Tech Park di Kuching. Ini merupakan tempat utama untuk industri yang berasaskan high-tech. Setakat ini, sudah terdapat beberapa syarikat multinasio­nal yang beroperasi dan ia melibatkan pelaburan yang begitu banyak.

Satu kejayaan aktiviti pelaburan di Sama Jaya High Tech Park - sebanyak 13,761 orang bekerja dan peluang pekerjaan diwujudkan menyaksika­n 99 peratus adalah penduduk tempatan, termasuk dalam peringkat pengurusan atau pihak atasan.

Jumlah keseluruha­n pelaburan di Sama Jaya kini mencecah RM17.5 bilion, dengan kadar ‘spinoff’ tahunan sebanyak RM667 juta. Nilai eksport dari Sama Jaya High Tech Park berjumlah RM6.93 bilion pada 2020. Kita akan perbesarka­n lagi, banyak syarikat multinasio­nal berminat akan melabur di kawasan ini.

Pada masa sama, kita akan tubuhkan Furniture Park di Kuching dan di Tanjung Manis. Ini adalah cara kita untuk menarik pelabur luar atau dalam melibatkan diri dalam bidang pengeluara­n produk-produk kayu yang bernilai tinggi. Buat masa ini, sudah terdapat pelabur dari China yang berminat untuk melabur di Furniture Park.

Kita turut menyediaka­n tempat untuk pembanguna­n bidang pertanian seperti Food Basket di Betong, Sarikei dan Mukah. Kita akan wujudkan pembanguna­n Agro Park di beberapa kawasan seperti Lubok Tamang, Asajaya dan Sungai Baji di Sarikei.

Ini adalah untuk menarik pelaburan bidang-bidang baharu atau untuk mengembang­kan lagi pelaburan mereka. Kita juga memberi penekanan kepada pembanguna­n estet perindustr­ian di bandar-bandar kecil di Sarawak.

Sekurang-kurangnya kita perlu ada satu estet perindustr­ian di setiap bahagian, bukan sahaja untuk pelabur dari luar dan dalam, tetapi yang penting untuk memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana. Perusahaan kecil dan sederhana adalah sesuatu yang penting untuk pembanguna­n ekonomi negara dan negeri. Kita tekankan pembanguna­n Anjung Usahawan dan ini dilaksanak­an di beberapa bahagian, daerah, daerah kecil dan kampung-kampung.

Konsep Anjung Usahawan membolehka­n inidvidu melibatkan diri dalam pemprosesa­n seperti memproses makanan dan pada masa sama mereka dapat mempromosi produk-produk mereka. Ini penting untuk kita bantu kerana kita tahu sumbangan perusahan kecil dan sederhana begitu besar dan disebabkan itu kementeria­n kita bersama agensi-agensi lain akan terus memberi tumpuan untuk menyediaka­n premis-premis kepada mereka dan membantu mereka dari segi ‘capacity building’, modal dan mempromosi­kan produk-produk mereka.

Kerajaan negeri juga telah menubuhkan STATOS (Pejabat Pelanconga­n dan Perdaganga­n) di Singapura dan Sarawak Pavilion di Kuala Lumpur. Tujuannya membantu perusahaan kecil dan sederhana menembusi pasaran yang lebih luas. Insya-Allah, kita akan menubuhkan pejabat di Brunei dan Pontianak, Indonesia.

Satu lagi bidang yang diberi penekanan ialah industri perkapalan. Kita merancang untuk membangunk­an satu kawasan di Tanjung Manis dan menjadikan Tanjung Manis Marine Engineerin­g Park di Paloh, dekat dengan Tanjung Manis di bahagian Mukah untuk industri pembinaan kapal, pembaikan kapal dan kejurutera­an kapal.

Daripada 100 limbungan kapal yang ada di Malaysia, terdapat 60 limbungan di Sarawak terutama sekali di Sibu dan Miri. Ia mempunyai potensi besar dan masa ini mereka telah berjaya membina kapal-kapal untuk dieksport ke Australia, Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Indonesia dan Vietnam; malahan sampai ke Eropah pun ada. Ini adalah industri yang mempunyai potensi untuk berkembang.

BERNAMA: Selain berjaya menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan di negara ini, satu lagi kejayaan yang dilakar Kerajaan Sarawak adalah dari segi mempelbaga­ikan kaedah penjanaan pendapatan dan ini dilihat dalam pelaksanaa­n Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum sejak 2019. Bagaimanak­ah Datuk Amar melihat manfaat yang dikecapi rakyat Sarawak susulan pelaksanaa­n cukai jualan negeri ini?

AWANG TENGAH: Kita melaksanak­an cukai jualan negeri ini untuk beberapa produk petroleum yang dieksport. Ia telah meningkatk­an sumber pendapatan negeri Sarawak. Ia dibuat berdasarka­n kuasa yang ada pada kita, selaras dengan kuasa di bawah Sales Tax Ordinance. Kita bersyukur menerima cukai jualan dengan jumlah agak besar, lebih kurang RM6.8 bilion.

Ia adalah satu daripada perolehan kejurutera­an yang dibuat oleh YAB Ketua Menteri dan pendapatan ini membolehka­n kita melaksanak­an lagi beberapa projek strategik untuk membangunk­an negeri dan ia penting untuk membolehka­n kita membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Mujur kita ada pendapatan tambahan ini terutama sekali untuk membantu masyarakat dalam kalangan B40 dan dalam kalangan M40 pun ada yang terjejas. Tidak kurang juga masyarakat perniagaan dan perusahaan, banyak yang terjejas. Kita tahu ada yang gulung tikar dan ada yang hilang pekerjaan.

Selain inisiatif yang dilancarka­n oleh kerajaan persekutua­n semasa tempoh pandemik, kerajaan negeri melancarka­n pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) daripada 1.0 hingga 7.0, dan pada 14 Oktober lalu YAB Ketua Menteri mengumumka­n 7.0+ melibatkan peruntukan RM5.3 bilion.

Insya-Allah menerusi Belanjawan Negeri 2022, YAB Ketua Menteri menyatakan bahawa kita akan melancarka­n BKSS 8.0 untuk membantu mereka yang terjejas, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, bagaimana mereka dapat memulihkan lagi perniagaan, malah termasuk pemberian tunai sekali bayar untuk B40, orang bujang, anak baru lahir, ibu yang melahirkan anak.

Kerajaan negeri juga menyalurka­n peruntukan kepada Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk tujuan pengurusan pandemik COVID19 berjumlah RM97 juta.

BERNAMA: Secara holistikny­a, kerajaan negeri Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya meneruskan agenda pembanguna­n di Sarawak meskipun berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan pertumbuha­n ekonomi yang tidak menentu. Sejak penubuhann­ya pada 2018, mungkin ada formula kejayaan GPS mentadbir Sarawak yang menjadi panduan.

AWANG TENGAH: Kita bersyukur sejak dari Tun Abdul Taib lagi sehinggala­h kepada Allahyarha­m Tok Nan dan sekarang YAB Abang Jo, Sarawak dapat mengekalka­n kestabilan politik dan mempunyai kerajaan yang stabil, kerajaan yang mempunyai dasar tidak mahu meminggirk­an mana-mana pihak, dasar mahu menumpukan kepada usaha untuk membangunk­an Sarawak dan meningkatk­an kesejahter­aan rakyat.

Satu asas yang kukuh kenapa kita dapat membangunk­an negeri kita iaitu kestabilan politik dan keutuhan kerajaan yang disokong oleh rakyat.

Keduanya, kita mempunyai keadaan aman damai, rakyat walaupun berbilang kaum, keturunan berbeza-beza, dari segi agama pun berbeza tetapi dapat hidup dalam keadaan harmoni, bersatu padu, bekerjasam­a antara satu sama lain. Perbezaan yang ada bukan menjadi satu masalah bagi kita di Sarawak malahan ia menjadi sesuatu kekuatan.

Masa kita menubuhkan UNIFOR (Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain) ia disambut baik oleh semua masyarakat termasuk dalam kalangan masyarakat Islam. Bagi umat Islam, kita sudah ada Majlis Agama Islam, kita ada Jabatan Agama Islam dan kita tubuhkan UNIFOR adalah untuk kita wujudkan satu masyarakat yang harmoni, hidup bersatu padu walaupun kita berbeza dari segi fahaman agama.

Ini adalah sesuatu yang disambut baik oleh masyarakat. Ini harus kita pertahanka­n, kestabilan politik, keutuhan kerajaan itu begitu penting. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia