Utusan Borneo (Sarawak)

Isu kapal peronda: Ahmad Zahid beri keterangan kepada PAC

-

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam memberikan keterangan dan penjelasan kepada Jawatankua­sa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) oleh Kementeria­n Pertahanan melibatkan nilai lebih RM9 bilion.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menjawat jawatan Menteri Pertahanan dari 10 April 2009 hingga 16 Mei 2013, telah memberikan penjelasan hampir dua jam berhubung isu itu yang merupakan perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Kementeria­n Pertahanan (MINDEF).

Beliau berkata Ahmad Zahid merupakan saksi keenam yang dipanggil PAC untuk isu ini, selain Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Muez Abdul Aziz, bekas Panglima Tentera Laut Jen (B) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua

Pegawai Operasi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Low Kok Chiang.

“PAC memandang serius isu ini memandangk­an sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar namun tidak ada sebuah pun kapal LCS yang siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS telah siap dibina setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Isu tersebut telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 (Pengaudita­n Pematuhan Kementeria­n/Jabatan Persekutua­n) dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankua­sa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitka­n pada 2019.

Wong berkata bagi melengkapk­an siasatan isu itu, PAC turut bercadang mengadakan lawatan ke limbungan kapal LCS yang dimiliki BNS di Lumut, Perak dalam masa yang akan ditetapkan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia