Utusan Borneo (Sarawak)

Penyelia tapak individu pertama dihukum mengikut Enakmen Sumber Air di Pahang

-

RAUB: Seorang penyelia tapak sebuah syarikat pertanian menjadi individu pertama dihukum di bawah Enakmen Sumber Air 2007 sejak ia berkuat kuasa di Pahang, setelah mengaku bersalah atas pertuduhan melepaskan sisa tanah ke Sungai Merapoh di Lipis sehingga menyebabka­n air sukar dirawat, Jun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhi hukuman denda RM70,000 ke atas Lew Shou Jen, 49, atau penjara tujuh bulan jika gagal membayarny­a selepas dia selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah semalam.

Lew dituduh melepaskan sisa kotor tanah dari kawasan kerja tanah yang diselianya di Lot 5055, PN18884, Mukim Batu Yon di Lipis setelah gagal membina kolam perangkap kelodak sehingga menyebabka­n air di Loji Rawatan

Air (LRA) Merapoh sukar dirawat pada 11.45 pagi, 28 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 37(1)(c) Enakmen Sumber Air 2007 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM250,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, dan boleh didenda maksimum RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu berterusan dilakukan.

Berdasarka­n fakta kes, Lew didakwa menyelia kerja pembukaan tanah bagi tujuan penanaman pokok ‘Revotropix Paulownia’ yang kayunya banyak digunakan dalam pembuatan perabot dan bahan bakar melibatkan kawasan sekitar 12.14 hingga 20.23 hektar.

Syarikat OKS bekerja, United Paulownia Plantation Sdn Bhd diberikan kerja itu oleh syarikat Bintang Tower

Sdn Bhd yang memajak tanah bersebelah­an Sungai Merapoh milik Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang dan kerja yang dilakukan menyebabka­n tanah terhakis dan mengalir ke sungai.

Lew yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah hanya menjatuhka­n hukuman denda minimum kerana dia baru sahaja bekerja dengan syarikat itu pada tahun lepas, selepas hampir setahun tidak bekerja akibat syarikat lama tempat dia bekerja terjejas akibat pandemik COVID19.

“Gaji bulanan sebanyak RM5,000 digunakan untuk menyara orang tua dan tiga anak yang masih belajar manakala isteri saya tidak bekerja. Saya juga telah mengaku bersalah dan berharap mahkamah boleh meringanka­n hukuman saya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia