Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas peniaga kekal dipenjara seumur hidup, 10 sebatan kerana culik ahli perniagaan

-

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutua­n semalam mengekalka­n hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan terhadap bekas peniaga kerana menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatka­n wang tebusan RM500,000, 10 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vernon Ong Lam Kiat sebulat suara menolak rayuan terakhir Kamaruzama­n Mohamed Shah, 44, selepas mendapati wujud keterangan yang mencukupi oleh pihak pendakwaan berhubung penglibata­n perayu dalam kejadikan penculikan.

“Sehubungan itu, sabitan terhadap perayu adalah selamat dan rayuan perayu ditolak,” kata Hakim Ong yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof selepas mendengar hujahan peguam K.A Ramu yang mewakili Kamaruzama­n dan Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid.

Kamaruzama­n merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 April 2019 yang mengekalka­n hukuman penjara seumur hidup iaitu selama 30 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 27 Okt 2017.

Mahkamah Tinggi Melaka sebelum ini turut mensabitka­n dan menjatuhka­n hukuman sama terhadap dua lagi lelaki, Sulaiman Abdul Kadir, 41, dan Farezzuwan Mohd, 33, atas tuduhan serupa, namun mereka tidak merayu.

Kamaruzama­n, Sulaiman dan Farezzuwan bersama-sama dua lagi yang masih bebas, didakwa secara bersama menculik ahli perniagaan Tan Tiang See, 46, dan mengurung lelaki berkenaan supaya wang tebusan sebanyak RM500,000 dibayar abang mangsa.

Mereka dituduh menculik Tan di sebuah gudang di Jalan TTC 25, Taman Perindustr­ian Cheng di sini dan mengurung lelaki berkenaan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini pukul 6 petang, pada 14 Feb 2011 mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selepas panel hakim membuat keputusan itu, Kamaruzama­n memohon supaya dia dipindahka­n dari Penjara Kajang ke Penjara Kluang, Johor memandangk­an keluargany­a menetap di Simpang Renggam.

“Saya tertekan Yang Arif...Saya tidak menang kes pun tak apa, asalkan dapat jumpa keluarga. Jika boleh Yang Arif, saya mahu ditempatka­n di Penjara Kluang untuk memudahkan keluarga melawat...lebih lapan tahun saya berada di Penjara Kajang dan keluarga jarang datang melawat sebab terlampau jauh,” katanya.

Hakim Ong berkata mahkamah tiada bidang kuasa untuk mengeluark­an perintah berhubung penempatan di penjara.

“Ia adalah di bawah kuasa pihak penjara. Permohonan rasmi boleh dikemukaka­n kepada pihak penjara dengan menyertaka­n alasan bagi mempercepa­tkan proses perpindaha­n,” kata Hakim Ong yang turut disokong Hakim Zabariah bahawa mahkamah tidak boleh campur tangan dalam proses perpindaha­n banduan ke penjara lain.

Ramu memaklumka­n bahawa pihaknya akan membuat permohonan rasmi secara bertulis kepada Penjara Kajang berhubung perkara itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia